PN gesa Malaysia desak PBB, OIC lakukan sekatan ekonomi, perundangan terhadap Israel
Umavathi Ramayah
Oktober 18, 2023 17:00 MYT
Oktober 18, 2023 17:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa supaya mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membuat ketetapan kolektif melakukan sekatan ekonomi dan perundangan antarabangsa terhadap Israel.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jenayah kemusnahan terancang Israel dan Zionis ke atas rakyat Palestin perlu dikeji serta dicela sekeras-kerasnya.
"Kuasa ekonomi umat Islam dunia yang seramai lebih dua bilion perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memberikan tekanan kepada rejim Israel serta sekutunya.
"Justeru PN menyeru kerajaan Malaysia menyuarakan secara lantang usaha bagi membangkitkan kesedaran umat Islam dunia untuk membalas setiap kekejaman, kebiadaban dan kesombongan Israel," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, PN turut menyeru kerajaan untuk menggunakan sepenuhnya Persidangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Khamis ini bagi mendesak PBB membuat ketetapan memulakan dan menghantar segera pasukan pengaman bagi menghentikan kekejaman Israel.
Menurutnya, tindakan negara kuasa dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis dan beberapa negara lain yang menolak resolusi gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang dicadangkan
Rusia semalam jelas memperlihatkan sikap dwistandard dalam soal kemanusiaan sejagat.
"PN akan terus mengunakan semua saluran dan rangkaian yang ada termasuk diplomasi antara rakyat kepada rakyat bagi memastikan Palestin mendapat keadilan, pembelaan dan bantuan di semua peringkat," ujarnya.