PM Yahudi terus angkuh, mahu Palestin terima kenyataan Baitulmaqdis ibu negara Israel

Agensi
Disember 10, 2017 04:28 MYT
Dengan angkuhnya Netanyahu (kiri) berkata ibu negara Israel adalah Baitulmaqdis kerana selama ini segala urusan rasmi sememangnya dibuat di situ. - Foto REUTERS/Philippe Wojazer
Tanpa menghiraukan kecaman dan kemarahan antarabangsa tentang pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara, Israel tampil dengan kenyataan baharu yang menambah bara bantahan warga Palestin.
Perdana Menteri Yahudi, Benjamin Netanyahu berkata lambat atau cepat, rakyat Palestin perlu sedar dan menerima kenyataan itu.
Dengan angkuhnya Netanyahu berkata ibu negara Israel adalah Baitulmaqdis kerana selama ini segala urusan rasmi sememangnya dibuat di situ.
"Di mana Knesset kita?, parlimen kita?, di mana mahkamah tertinggi kita?, kerusi kerajaan kita, pejabat Perdana Menteri, pejabat Presiden?
"Tidak ada di Beersheba, tidak ada di Ashdod, ini adalah bandar-bandar yang indah.
"Tetapi di Baitulmaqdis, ia sentiasa menjadi ibu kota kita dan Baitulmaqdis tidak pernah menjadi ibu negara kepada negara lain.
"Saya fikir lebih awal rakyat Palestin menerima kenyataan ini maka akan lebih cepat kita bergerak ke arah keamanan dan inilah sebabnya saya fikir pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump begitu penting untuk keamanan," jelasnya sewaktu sidang media bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron di Paris pada Ahad.
Perancis tidak sokong kenyataan Israel
Sebelum itu Macron terlebih dahulu mengecam tindakan dan kenyataan Trump dan Netanyahu berhubung Baitulmaqdis.
"Perancis tetap dengan pendirian tidak mengiktiraf pengisytiharan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
"Perancis mahu perdamaian dibina dari masa ke masa di rantau itu dan mahu dua negeri terbabit secara damai menyelesaikannya dan menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
"Saya mahu jelaskan kepada Perdana Menteri Netanyahu bahawa saya tidak setuju dengan pernyataan Presiden Amerika Syarikat.
"Perancis melihat ia amat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan berbahaya untuk keamanan kedua-dua belah pihak Irael-palestin." tegas Macron lagi.
Trump pada Khamis menjadi presiden pertama AS yang mengiktiraf secara rasmi Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan pelan memindahkan pejabat kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Keputusan itu menimbulkan kemarahan dunia termasuk Malaysia yang mahu negara itu mengkaji semula keputusan tersebut kerana ia dilihat sebagai satu pencerobohan terhadap bangsa Arab dan umat Islam.
#Amerika Syarikat #AS #Baitulmaqdis #Benjamin Netanyahu #Donald Trump #Emmanuel Macron #Islam #Israel #Malaysia #Palestin #Paris #Parlimen #Perancis #Perdana Menteri
;