PM UK tetapkan 15 Oktober tarikh capai perjanjian Brexit
Astro Awani
September 7, 2020 08:59 MYT
September 7, 2020 08:59 MYT
UNITED Kingdom (UK) menetapkan 15 Oktober sebagai tarikh untuk mencapai perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah (EU).
Menurut Perdana Menteri UK Boris Johnson pada Ahad, jika ia gagal dicapai, kedua-dua pihak UK dan EU harus menerima kenyataan itu dan bergerak ke hadapan.
Tegasnya, UK tidak akan berkompromi dalam isu kedaulatan dan akan melihat kepada perjanjian perdagangan standard dengan EU di masa hadapan, jika rundingan yang berlangsung gagal mencapai kata sepakat.
Ketua Perunding UK David Frost sebelum ini menyatakan beliau tidak bimbang jika UK gagal mencapai perjanjian perdagangan bebas dengan EU.
Sementara itu, Menteri Luar UK Dominic Raab menegaskan, UK ingin dilayan seperti negara lain dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas.
Tambahnya, tiada negara yang sanggup terikat dan dikawal oleh EU atau mana mana negara lain dalam rundingan seumpama itu.
Ketika ini perbincangan UK keluar daripada EU, atau langkah Brexit, kekal tiada penyelesaian biarpun dengan tempoh peralihan berakhir hujung tahun ini.
Menurut Raab, ketika ini dua isu utama masih gagal dicapai, iatu isu akses perairan UK kepada nelayan negara lain dan bantuan negara kepada perindustrian.
EU ingin memastikan akses kepada persekitaran ekonomi dan perniagaan yang adil di UK dan syarikat UK mematuhi patuhi peraturan EU.
UK mendakwa, EU tidak adil kerana tidak mengenakan syarat yang sama kepada Kanada.
Sebelum ini, Menteri Luar Perancis Jean-Yves Le Drian menegaskan, jika UK ingin memasuki pasaran tunggal Eropah, ia harus mengikut peraturan yang ditetapkan.