PM Turki setuju bekukan rancangan bangunkan semula Taman Gezi

Astro Awani
Jun 15, 2013 12:06 MYT
Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bersetuju membekukan rancangan untuk membangunkan semula sebuah taman di Istanbul.
Hasrat kerajaan itu mengundang rusuhan anti-kerajaan yang berlarutan sehingga dua minggu.
Perkembangan terbaru itu dianggap oleh kumpulan penunjuk perasaan sebagai sesuatu yang positif.
Malah, pengumuman dilihat mampu mengurangkan ketegangan yang menyaksikan turki berdepan dengan cabaran terbesar sejak sedekad pemerintahan Erdogan dan mendapat kritikan dari negara barat.
Erdogan membuat pengumuman itu beberapa jam selepas memberi amaran terakhir terhadap penunjuk perasaan yang berkampung di taman Gezi.
Beliau sebelum itu terlibat dalam rundingan pertamanya bersama kumpulan utama penunjuk perasaan yang matlamat asal mereka mahu melindungi taman tersebut.
Sementara itu, jurucakap kumpulan Taksim Solidary, Tayfun Kahraman berkata hasil positif dicapai apabila Perdana Menteri menjelaskan bahawa projek itu tidak akan diteruskan sebelum keputusan akhir oleh mahkamah.
Sebelum ini, pelbagai pihak kecewa apabila pertemuan Perdana Menteri dan wakil penunjuk perasaan gagal mencapai sebarang resolusi menamatkan gerakan duduk dan bantah di taman Gezi.
Perhimpunan sejak dua minggu lalu turut merebak ke hampir 70 buah bandar di seluruh Turki.
#Perdana Menteri Turki #Recep Tayyip Erdogan