PM Turki dakwa militan Kurdistan bertanggungjawab serangan bom di Ankara

AFP
Februari 18, 2016 21:15 MYT
Pasukan penyelamat membantu merawat mangsa yang cedera akibat satu letupan yang mensasarkan konvoi tentera di Ankara pada 17 Februari 2016. - AFP
Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu mendakwa militan Kurdistan di Turki bertanggungjawab dalam serangan bom di Ankara yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 28 maut.
Davutoglu juga mengesahkan pengebom berkenaan, yang mensasarkan konvoi kenderaan tentera yang melalui jalan di Ankara, merupakan seorang warganegara Syria.
"Serangan tersebut dilakukan oleh salah seorang ahli organisasi pengganas yang bekerjasama dengan ahli Kurdish YPG (Unit Perlindungan Rakyat Kurdish) yang menyelinap masuk Turki dari Syria," katanya pada sidang media di Ankara, selain turut mengesahkan pengebom berkenaan bernama Salih Necar.
Dalam sidang media sama, Davutoglu juga berkata seramai sembilan orang telah ditahan berikutan insiden berkenaan.
Davutoglu juga mendakwa Parti Buruh Kurdistan (PKK) yang dianggap sebagai kumpulan pengganas terlibat dalam serangan tersebut.
Serangan pada jam 6.15 petang waktu tempatan (12.15 tengah malam waktu Malaysia) itu berlaku di kawasan yang terletak berhampiran Parlimen dan ibu pejabat tentera Turki.
#Ahmet Davutoglu #Ankara #Kurdish YPG #serangan Turki
;