PM Thailand Yingluck Shinawatra bakal didakwa cuai dalam tugas

Astro Awani
Februari 18, 2014 19:19 MYT
Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra bakal didakwa cuai dalam menjalankan tugas, menurut satu kenyataan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand hari ini.
Sekiranya didapati bersalah di dalam kes yang melibatkan skim subsidi untuk pesawah itu, Yingluck boleh dipecat daripada jawatan.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa Yingluck telah mengabaikan amaran bahawa dasar itu menggalakkan rasuah, menghabiskan dana awam dan menyebabkan kerugian ekoran bekalan beras yang tidak terjual.
Yingluck akan dipanggil untuk mendengar pertuduhan itu pada 27 Februari ini.
Kenyataan dakwaan ini muncul tatkala Bangkok masih tegang dengan protes berpanjangan sejak lebih tiga bulan lalu dalam cubaan kumpulan anti-kerajaan untuk memaksa Yingluck meletak jawatan.
Ketegangan yang semakin memuncak hari ini menyaksikan tiga orang terbunuh termasuk seorang polis manakala berpuluh lain cedera di Bangkok.
#Bangkok #PM thailand #protes #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand #Thailand #Yingluck Shinawatra
;