PM Thailand Srettha tidak akan hadir untuk keputusan di Mahkamah Perlembagaan esok

Bernama
Ogos 13, 2024 14:49 MYT
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin tidak akan hadir apabila Mahkamah Perlembagaan pada Rabu menyampaikan keputusan mengenai pelantikan seorang menteri Kabinet yang mempunyai rekod jenayah. - Gambar fail/AP
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin tidak akan hadir apabila Mahkamah Perlembagaan pada Rabu menyampaikan keputusan mengenai pelantikan seorang menteri Kabinet yang mempunyai rekod jenayah.
Srettha berkata oleh kerana komitmen kerja yang telah dijadualkan, beliau akan menghantar Setiausaha Agung kepada Perdana Menteri Prommin Lertsuridej untuk mewakilinya bagi mendengar keputusan di mahkamah esok.
"Saya ada mesyuarat dalaman dengan agensi berkaitan mengenai pentadbiran negara di Rumah Kerajaan esok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini pada Selasa.
Pada Mei tahun ini, Srettha dituduh melanggar peraturan etika dengan melantik Pichit Chuenban, seorang peguam yang rapat dengan keluarga bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra sebagai menteri.
Pichit pernah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan pada 2008 atas kesalahan berkaitan rasuah. Beliau telah meletak jawatan namun Mahkamah Perlembagaan tetap bersetuju untuk mendengar kes itu.
-- BERNAMA
#Srettha Thavisin #Rasuah #mahkamah perlembagaan #mesyuarat Kabinet