PM Thailand seru ASEAN supaya sebulat suara tangani krisis Myanmar
Bernama
Oktober 9, 2024 06:20 MYT
Oktober 9, 2024 06:20 MYT
VIENTIANE: Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra menyeru ASEAN supaya sebulat suara dalam menyampaikan mesej kepada semua pihak di Myanmar, mendesak mereka untuk meninggalkan penyelesaian ketenteraan dan terlibat dalam dialog bermakna bagi menangani krisis yang semakin meruncing.
Beliau menekankan keperluan mendesak untuk sebuah Myanmar yang aman, stabil dan bersatu, satu matlamat yang selari dengan kepentingan semua negara di rantau ini.
"Penting untuk mengembalikan pihak-pihak terbabit ke proses politik dan mencari penyelesaian politik. Membuka lebih banyak ruang politik dan dialog antara pihak-pihak adalah penting, memandangkan Myanmar akan bergerak ke hadapan dengan pilihan raya tahun depan," katanya semasa sesi tertutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-45 di Pusat Konvensyen Kebangsaan, di sini, pada Rabu.
Ucapan Perdana Menteri itu dikongsi oleh jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Houngsab.
Sementara itu, Paetongtarn turut menekankan kesan ketidakstabilan Myanmar terhadap Thailand, termasuk kemasukan orang yang dipindahkan, migrasi haram, serta gangguan kepada perdagangan dan mata pencarian.
"Bagi mencapai matlamat ini, Thailand telah berjanji untuk memperhebatkan libat urus dalam hubungan dua hala dengan Myanmar dan secara aktif menyokong proses damai yang dipimpin ASEAN," katanya.
Paetongtarn turut memuji usaha Laos selaku pengerusi semasa ASEAN, khususnya peranan Utusan Khas Alounkeo Kittikhoun, dan menyatakan kesediaan Thailand untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia sebagai pengerusi seterusnya.
Beliau juga membangkitkan ancaman yang semakin meningkat daripada jenayah rentas sempadan di rantau ini, termasuk penyeludupan dadah dan penipuan dalam talian, serta menyeru kerjasama ASEAN yang lebih kukuh untuk menangani cabaran-cabaran ini.
-- BERNAMA