PM Thailand Paetongtarn tidak tahu rancangan kepulangan Yingluck

Bernama
November 19, 2024 19:45 MYT
Yingluck (gambar) sebelum ini melarikan diri dari Thailand dan sejak itu dia hidup dalam buangan secara sukarela. - Gambar fail/REUTERS
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra berkata beliau tidak mengetahui sebarang rancangan untuk kepulangan ibu saudaranya yang kini hidup dalam buangan, bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra ke Thailand, walaupun bapanya, Thaksin Shinawatra, baru-baru ini membuat kenyataan yang memberi petunjuk ke arah itu.
Merujuk kepada laporan Nikkei Asia yang memetik Thaksin, bekas perdana menteri, menyatakan bahawa Yingluck mungkin kembali ke Thailand sekitar April tahun depan, Paetongtarn menjelaskan bahawa Yingluck belum menghubungi kerajaan mengenai perkara itu.
"Satu-satunya hubungan yang dia (Yingluck) buat ialah menghubungi cucunya," kata Paetongtarn kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Rumah Kerajaan pada Selasa.
Enggan mengulas lebih lanjut, Paetongtarn menasihati wartawan supaya mengajukan soalan mengenai kepulangan Yingluck kepada Thaksin, sambil berkata: "Media dialu-alukan untuk menemu bual beliau secara langsung."
Pada 18 Nov, Nikkei Asia menyiarkan temu bual dengan Thaksin, yang beliau meluahkan keyakinan bahawa Yingluck boleh pulang ke Thailand semasa perayaan Songkran tahun depan, yang jatuh pada pertengahan April.
"Saya tidak nampak sebarang halangan yang menghalang kepulangannya. Malah, dia mungkin balik lebih awal, bergantung kepada masa dan peluang," kata Thaksin.
Yingluck pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri ke-28 Thailand dari Ogos 2011 hingga Mei 2014, dan menjadi pemimpin wanita pertama negara itu.
Bagaimanapun, tempoh pemerintahannya menghadapi cabaran besar, termasuk protes berskala besar yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat pada 2013-2014.
Pada Mei 2014, Yingluck dipecat daripada jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan atas tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pada 2017, dia disabitkan kesalahan dalam ketidakhadiran atas kecuaian berkaitan program subsidi beras yang kontroversi dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.
Sebelum keputusan mahkamah itu, Yingluck melarikan diri dari Thailand dan sejak itu hidup dalam buangan secara sukarela.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Thailand #Paetongtarn Shinawatra #Yingluck Shinawatra #pulang ke Thailand #hidup dalam buangan
;