PM Thailand minta tiga tuntutan BRN dirujuk kepada Malaysia

Bernama
April 11, 2017 23:57 MYT
Prayut (kanan) memberitahu BRN supaya segala tuntutan perlu diberitahu kepada Malaysia yang bertindak sebagai fasilitator. - Gambar fail
Kerajaan Thai memberitahu Barisan Revolusi Nasional (BRN) agar menyampaikan tiga tuntutannya kepada Malaysia, yang bertindak selaku fasilitator dalam proses damai yang sedang berjalan.
Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha berkata sebarang cadangan yang menyentuh proses damai mesti dibawa ke pihak fasilitator.
"Mereka (BRN) perlu mencadangkannya menerusi Malaysia kerana Malaysia adalah fasilitator rundingan. Kita tidak boleh bercakap dengan sesiapa di Thailand yang dianggap sebagai kumpulan insurgen, jadi mereka perlu mencari penyelesaian di sana," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
BRN, yang dilihat banyak pihak sebagai kumpulan militan paling berpengaruh dan berkebolehan di Thai Selatan mengeluarkan kenyataan luar biasa semalam.
Menerusinya BRN menggariskan tiga tuntutan utama bagi menjamin kejayaan rundingan damai.
Bangkok dan Mara Patani (Majlis Perundingan Patani), badan induk yang memayungi beberapa kumpulan di Selatan Thai, tidak termasuk BRN, sekian lama terlibat dalam proses damai demi menamatkan konflik, diatur oleh Kuala Lumpur.
Tuntutan pertama BRN ialah, dialog damai mestilah berasaskan kesediaan dua pihak dalam konflik itu dan penyertaan pihak ketiga selaku saksi dan pemerhati.
Tuntutan kedua, melibatkan pelantikan orang tengah yang berwibawa, sementara tuntutan ketiga ialah proses rundingan yang diatur oleh para perunding, dan dipersetujui sebelum bermula rundingan damai.
Mengenai tuntutan BRN bagi penyertaan komuniti antarabangsa dalam proses damai, Prayut menolaknya dan berkata tidak ada keperluan bagi penglibatan mereka.
"Mengapa? Negara kita tidak dapat menyelesaikan masalah kita. Jika mereka (komuniti antarabangsa) terlibat (dalam proses damai), adakah mereka faham masalah kita?" tanya beliau.
Pihak-pihak yang terlibat dalam rundingan mestilah yakin dengan kerajaan Thai, yang telah memberikan komitmen untuk menamatkan keganasan.
Konflik yang terlarutan selama dua dekad di empat wilayah Thai di selatan telah mengorbankan lebih 6,000 nyawa. - BERNAMA
#Barisan Revolusi Nasional #BRN #Prayut Chan-O-Cha #Thailand