PM Thailand gariskan dasar komprehensif untuk majukan negara

Bernama
September 12, 2024 17:05 MYT
Paetongtarn turut mengetengahkan cabaran ekonomi seperti pertumbuhan yang rendah berbanding potensi, hutang kronik, ketidaksamaan yang semakin meningkat serta isu alam sekitar, sosial dan politik. - AP
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra menyampaikan ucapan dasar komprehensif di Parlimen pada Khamis, yang menggariskan dasar segera bagi memupuk perpaduan dan perdamaian dalam masyarakat serta menangani masalah ekonomi negara.
Paetongtarn, yang juga pemimpin Parti Pheu Thai menegaskan bahawa kerajaan akan segera menangani isu-isu seperti hutang isi rumah yang tinggi, peningkatan kos sara hidup dan pendapatan yang ketinggalan bagi mengembalikan harapan kepada rakyat Thailand secepat mungkin.
Beliau turut menggariskan rancangan jangka panjang kerajaan untuk meletakkan asas bagi masa depan negara, termasuk menarik pelaburan asing dalam pengeluaran kenderaan elektrik, mempromosikan budaya kreatif dan eksport kuasa lembut, membangunkan ekonomi digital dengan menarik pelaburan daripada syarikat asing atau tempatan bagi membangunkan atau menempatkan pusat data dan kilang pembuatan semikonduktor, serta mewujudkan rangka kerja bagi kecerdasan buatan (AI) dan sistem ekonomi hijau.
"Fokus utama lain termasuk menjadikan Thailand sebagai hab kewangan global, mengembangkan ekonomi kesihatan dan perubatan, menambahbaik infrastruktur, memupuk penyelidikan dan inovasi, mewujudkan hab logistik dengan infrastruktur pengangkutan berskala besar, serta memajukan projek Land Bridge," katanya dalam ucapan sulungnya di Parlimen.
Perdana menteri itu turut mengetengahkan cabaran ekonomi seperti pertumbuhan yang rendah berbanding potensi, hutang kronik, ketidaksamaan yang semakin meningkat serta isu alam sekitar, sosial dan politik.
"Semua ini merupakan cabaran yang bersedia dihadapi oleh kerajaan dengan bekerjasama dengan semua sektor untuk mengubahnya menjadi harapan, peluang dan kesaksamaan bagi setiap kumpulan masyarakat," katanya.
Beliau menekankan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keupayaan rakyat dan mewujudkan peluang bagi mereka mengatasi masalah mendesak negara.
Paetongtarn turut berkata bahawa kerajaan sedia ada akan melaksanakan langkah-langkah rangsangan ekonomi jangka pendek, sambil menegaskan bahawa Skim Dompet Digital atau "Digital Wallet" benar-benar akan memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan rentan, yang akan menerima subsidi pertama untuk mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan peluang pendapatan.
Beliau berkata Skim Dompet Digital itu juga akan menjadi asas bagi mempromosikan ekonomi digital.
"Dasar seperti Skim Dompet Digital, pembangunan pusat data kerajaan dan akses pembiayaan yang lebih luas untuk pembangunan kampung dan komuniti adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengekalkan kestabilan ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, dasar fiskal akan diuruskan melalui perbelanjaan bajet yang cekap dan berdisiplin ketat untuk memastikan kepentingan awam terpelihara, katanya.
Paetongtarn juga menegaskan komitmen kerajaan untuk menegakkan institusi beraja, mempromosikan pemahaman yang betul mengenai tugas diraja serta melaksanakan projek selaras dengan inisiatif diraja.
"Kerajaan akan mempromosikan agama sebagai mekanisme menerapkan moral dan etika dalam kehidupan harian serta menguatkuasakan undang-undang dengan tegas, terutamanya yang berkaitan dengan melindungi nyawa, harta benda dan alam sekitar," katanya.
Paetongtarn, perdana menteri termuda Thailand dipilih oleh Dewan Perwakilan Thailand sebagai perdana menteri pada 16 Ogos, menggantikan Srettha Thavisin yang disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan pada 14 Ogos.
-- BERNAMA
#Paetongtarn Shinawatra #Thailand #kerajaan #kos sara hidup #Hutang isi rumah
;