PM Thailand arah tindakan tangani jerebu teruk di Chiang Mai
Bernama
Mac 19, 2025 21:04 MYT
Mac 19, 2025 21:04 MYT
Chiang Mai disenaraikan sebagai bandar ketujuh paling tercemar di dunia, menurut pemantauan oleh IQAir, sebuah syarikat teknologi kualiti udara dari Switzerland. - X: @IQAir
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra pada Rabu menggesa semua agensi berkaitan untuk segera meningkatkan langkah-langkah untuk menangani masalah jerebu teruk yang mencemari udara di Chiang Mai, ketika beliau berusaha meredakan kebimbangan orang ramai terhadap situasi itu.
Dalam satu hantaran di X, Paetongtarn berkata kerajaan telah memantau dengan teliti masalah jerebu di wilayah utara negara itu.
"Saya telah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk menangani situasi ini dan melaksanakan langkah sama seperti yang digunakan di seluruh negara awal tahun ini.
"Walaupun paras jerebu di utara bertambah baik berbanding tahun lepas, keputusannya masih belum memuaskan kerana pencemaran udara masih teruk dan terus memberi kesan kepada kesihatan awam. Punca utama ialah titik panas dari negara jiran," katanya pada Rabu.
Beliau menambah bahawa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mendapatkan kerjasama dari negara jiran melalui Sekretariat ASEAN bagi mempercepat kerjasama rentas sempadan.
"Saya memberi jaminan kepada penduduk di wilayah utara bahawa kerajaan tidak mengabaikan isu ini. Kesihatan awam adalah keutamaan, dan kami akan melaksanakan langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah jerebu secepat mungkin," katanya.
Pada Selasa, Agensi Berita Thailand (TNA) melaporkan bahawa Chiang Mai disenaraikan sebagai bandar ketujuh paling tercemar di dunia, menurut pemantauan oleh IQAir, sebuah syarikat teknologi kualiti udara dari Switzerland.
Menurut TNA, Wilayah Chiang Mai mengisytiharkan keadaan PM2.5 pada Selasa sebagai "merah," menandakan tahap pencemaran yang melebihi standard kesihatan, dengan kepekatan habuk tertinggi direkodkan di Daerah Chiang Dao.
-- BERNAMA