PM Thailand arah perketat peraturan pemilikan senjata api
Astro Awani
Oktober 11, 2022 09:30 MYT
Oktober 11, 2022 09:30 MYT
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengetatkan peraturan pemilikan senjata api dan membanteras penyalahgunaan dadah.
Arahan dikeluarkan berikutan insiden pembunuhan beramai-ramai oleh seorang bekas polis di pusat jagaan negara itu, yang mengorbankan 36 orang, termasuk 24 kanak-kanak.
Insiden di Uthai Sawan, sebuah bandar 500 kilometer di timur laut Bangkok, melibatkan seorang bekas polis yang amuk, dan kemudian membunuh diri.
Prayuth telah mengarahkan pihak berkuasa untuk mencari dan menguji secara proaktif penggunaan dadah terlarang dalam kalangan pegawai dan masyarakat dan meningkatkan rawatan untuk penagih.
Beliau juga mengarahkan pendaftar kerajaan untuk membatalkan lesen senjata api pemilik berdaftar yang dilaporkan telah berkelakuan dengan cara yang 'mengancam masyarakat' dan 'mencipta huru-hara atau menimbulkan kekacauan.
Ini di samping tindakan keras terhadap penjualan senjata api haram, penyeludupan senjata, dan penggunaan senjata api haram.
Pihak berkuasa Thailand merancang menarik balik senjata api daripada pegawai dan pegawai polis yang telah menyalahgunakan senjata api mereka atau berkelakuan agresif semasa bertugas.
Pemeriksaan kesihatan mental secara berkala juga akan diperlukan bagi pemohon dan pemegang lesen senjata api.
Pemilikan senjata api adalah tinggi di Thailand berbanding beberapa negara lain di Asia Tenggara.
Senjata haram, yang banyak dibawa masuk dari negara yang dilanda perselisihan, adalah perkara biasa.
#Prayuth Chan-ocha
#peraturan pemilikan senjata api
#banteras penyalahgunaan dadah
#tragedi pusat jagaan kanak-kanak