PM Thailand arah langkah bantuan segera untuk wilayah selatan yang dilanda banjir

Bernama
November 29, 2024 19:30 MYT
Paetongtarn melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap mereka yang terjejas akibat banjir, terutamanya di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla yang terjejas teruk. - Foto REUTERS
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra telah mengarahkan langkah bantuan banjir yang pantas dan menyeluruh untuk Selatan Thailand, yang banjir teruk telah menyebabkan kemusnahan meluas.
Jurucakap kerajaan Jirayu Houngsub berkata perdana menteri melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap mereka yang terjejas akibat banjir, terutamanya di wilayah Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla yang terjejas teruk.
"Perdana Menteri Paetongtarn telah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul dan pasukan daripada Kementerian Dalam Negeri untuk melawat Narathiwat dan menyelia usaha bantuan di lapangan," kata Jirayu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Paetongtarn yang berada di Chiang Mai untuk memeriksa projek kerajaan, mempengerusikan mesyuarat Kabinet bergerak.
Jirayu menambah bahawa Kementerian Pertahanan mengarahkan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) untuk bertindak sebagai unit operasi hadapan Pusat Penyelarasan Bencana Kerajaan (GDCC) di kawasan itu, memastikan kerjasama yang lancar dengan komando pusat untuk usaha bantuan yang berkesan.
Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Awam telah mengerahkan pasukan perubatan ke semua kawasan yang terjejas untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang penting, manakala Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) dan Pejabat Perdana Menteri mempercepatkan bantuan kewangan untuk mangsa.
Menurut DDPM, banjir di tujuh wilayah selatan - Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, dan Satun - telah menjejaskan 2,831 kampung dan kehidupan 240,007 isi rumah.
Di empat wilayah yang paling teruk terjejas - Yala, Pattani, Narathiwat, dan Songkhla - pihak berkuasa memindahkan 4,380 penduduk ke 91 tempat perlindungan sementara.
DDPM berkata amaran tepat pada masanya di kawasan berisiko tinggi membolehkan pihak berkuasa memindahkan kumpulan terdedah dengan cekap, manakala usaha bantuan dan pemulihan akan diteruskan sehingga keadaan stabil.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Thailand #bantuan banjir yang pantas #Paetongtarn Shinawatra #Pattani #Narathiwat
;