PM Thai gesa peralihan kepada ekonomi berasaskan kreativiti

Bernama
Jun 28, 2024 22:26 MYT
Bagaimanapun, Srettha mengakui permintaan besar untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi, seperti pengekodan, yang memerlukan latihan yang meluas. - Gambar fail/Bernama
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin mahu kerajaan supaya tidak bergantung kepada tenaga buruh berkemahiran rendah dan beralih menjadi sebuah negara yang digerakkan kebijaksanaan dan kreativiti rakyat.
Pada pembukaan Forum Kuasa Lembut THACCA Splash 2024 pada Jumaat, Srettha menekankan bahawa ekonomi Thailand didorong oleh sektor perindustrian dan pertanian, yang menggaji sejumlah besar tenaga kerja tetapi sering kali berkemahiran rendah dan sangat bergantung kepada alam semula jadi, musim, hujan, banjir dan kemarau.
"Ini mengakibatkan kehidupan yang tidak menentu dan memberi kesan kepada kewangan keluarga serta ekonomi negara, seperti yang dibuktikan oleh nisbah hutang isi rumah kepada KDNK yang melebihi 90 peratus," katanya.
Beliau berkata struktur ekonomi Thailand perlu dinaik taraf daripada menggunakan tenaga buruh berkemahiran rendah kepada lebih menggunakan kebijaksanaan dan kreativiti, terutamanya dalam era Digital dan pekerjaan yang lebih menghargai hasil ketukangan.
Bagaimanapun, beliau mengakui permintaan besar untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi, seperti pengekodan, yang memerlukan latihan yang meluas.
"Kerajaan melihat promosi strategi Kuasa Lembut sebagai satu industri yang mana semua rakyat Thailand boleh turut serta, menggunakan potensi mereka sendiri, latar belakang budaya, kemahiran dan platform untuk membuktikan kemampuan mereka," katanya.
Strategi Kuasa Lembut Thailand bertujuan memanfaatkan kekuatan budaya untuk membina ekonomi kreatif yang kukuh dan mewujudkan imej yang lebih positif serta berpengaruh di peringkat global.
Forum Kuasa Lembut THACCA Splash 2024, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Strategi Kuasa Lembut Kebangsaan, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang Kuasa Lembut, menyokong pembangunan dan daya saing usahawan dalam bidang ini, serta menggalakkan kerjasama antara agensi pembangunan.
Forum tiga hari yang bermula pada Jumaat di Pusat Konvensyen Kebangsaan Ratu Sirikit dan berlangsung hingga Ahad itu juga bertujuan mempromosikan Kuasa Lembut dalam kalangan negara Asia Tenggara dan rakan antarabangsa untuk merangsang perkembangan ekonomi global.
-- BERNAMA
#KDNK #alam semula jadi #isi rumah #ekonomi negara
;