PM terima kunjungan hormat PM Lubnan
Shafizan Johari
November 11, 2024 17:26 MYT
November 11, 2024 17:26 MYT
RIYADH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati di Riyadh, Arab Saudi.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati di Riyadh, menjelang Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab Islam.
- Anwar menegaskan sokongan Malaysia terhadap Lubnan, khususnya ketika negara itu terkesan dengan serangan Israel yang menyebabkan ribuan kematian dan kecederaan.
- Malaysia juga bersedia memberi bantuan kewangan kepada Lubnan, sementara Anwar akan membawa mandat Malaysia dalam sidang kemuncak untuk mengutuk keganasan Israel.
Pertemuan berkenaan diadakan menjelang Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab Islam, yang bakal berlangsung petang ini waktu Malaysia.
Pertemuan berkenaan berlangsung ketika Lubnan berdepan dengan kegilaan Israel yang sehingga kini sudah menyebabkan lebih 2,700 warganya maut, manakala ribuan lagi cedera.
Dalam pertemuan itu Anwar menyatakan sokongan berterusan Malaysia terhadap Lubnan.
Malaysia jelas Anwar, juga terkesan secara langsung dengan ketegangan di Lubnan susulan insiden serangan Israel sehingga mengakibatkan enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) tercedera.
Anwar juga memaklumkan kepada rakan sejawatnya itu bahawa Malaysia bersedia untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada Lubnan untuk membantu mangsa yang terkesan akibat serangan Israel.
Kedua-dua pemimpin berkenaan juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab Islam di mana Perdana Menteri bakal membawa mandat Malaysia bagi mengutuk keganasan Israel di atas Palestin dan Lubnan.