PM Sweden: Stefan Lofven letak jawatan

Astro Awani
November 10, 2021 07:26 MYT
Stefan Lofven (kiri) menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Speaker Parlimen Andreas Norln di Parlimen, Stockholm, Sweden, 10 Nov, 2021. (Foto AP)
PERDANA Menteri Sweden, Stefan Lofven meletak jawatan, sekali gus membuka jalan kepada penggantinya, Magdalena Andersson menjelang pilihan raya umum, tahun depan.
Lofven, yang memimpin selama tujuh tahun turut turun dari kerusi kepimpinan pada Kongres Parti Sosial Demokrat, minggu lalu.
Andersson, yang kini menteri kewangan dilantik untuk menggantikan Lofven sebagai pemimpin parti, sekali gus meletakkan dirinya sebagai wanita pertama memimpin negara sekiranya beliau menang undian di Parlimen.
Setakat ini, tiada tarikh yang ditetapkan untuk undian itu.
Di Parlimen Sweden, kuasa politik sangat seimbang sehinggakan Parti Sosial Demokrat memerlukan sokongan kedua-dua rakan gabungan parti serta parti berhaluan kiri serta tengah untuk memilih perdana menteri yang baharu.
The Centre Party menyatakan mereka akan menyokong Andersson dan parti haluan kiri juga dijangka akan berbuat demikian.
Namun, pencapaian melantik seorang wanita sebagai perdana menteri dilihat seperti anakronistik (ketinggalan zaman) kerana negara itu sudah sekian lama memperjuangkan kesaksamaan jantina.
Semua negara Nordic, Norway, Denmark, Finland dan Iceland sudah meletakkan wanita sebagai pemimpin kerajaan mereka.
Perubahan terhadap pemimpin Sosial Demokrat berlaku apabila parti itu mendapat penarafan terendahnya dengan pilihan raya dijangka menjelang kurang setahun lagi, iaitu pada Sept 2022.
#Perdana Menteri Sweden letak jawatan #Magdalena Andersson #Stefan Lofven #pilihan raya umum Sweden
;