PM suarakan kebimbangan terhadap AUKUS pada sidang EAS
Bernama
Oktober 27, 2021 23:58 MYT
Oktober 27, 2021 23:58 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia sekali mengulangi pendiriannya yang bimbang terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat atau AUKUS pada Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) pada Rabu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada sidang itu mengulangi pendirian bahawa perkembangan berkenaan boleh mendorong ke arah perlumbaan senjata dan mencetuskan ketegangan, mengakibatkan ketidakstabilan di rantau ini terutama di Laut China Selatan.
Sehubungan itu katanya, Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan rantau Asia Tenggara sebagai zon bebas nuklear sejajar dengan Deklarasi Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
"Pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan kekal utuh. Isu berkaitan Laut China Selatan perlu diuruskan secara aman dan menerusi dialog serta rundingan, menggunakan forum bersesuaian dan saluran diplomatik," katanya.
Bagi memastikan ia kekal sebagai laut yang aman dan stabil, Ismail Sabri menekankan, semua pihak perlu membendung diri dan mengelak daripada mengambil tindakan yang mungkin dianggap sebagai provokasi, yang merumitkan lagi keadaan serta meningkatkan ketegangan di kawasan ini.
Sebagai sebuah negara yang turut menuntut hak, beliau berkata, Malaysia secara tegas berpendirian bahawa perkara berkaitan Laut China Selatan mesti diselesaikan secara aman dan konstruktif, sejajar dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diterima sejagat, termasuk Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.