PM Srettha suarakan kebimbangan, nasihatkan rakyat Thailand di Dhaka supaya berwaspada

Bernama
Julai 21, 2024 14:33 MYT
Srettha menasihatkan rakyat Thailand di ibu kota Dhaka supaya sentiasa berwaspada. - Gambar fail/X
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin menyatakan kebimbangannya mengenai situasi demonstrasi yang semakin memuncak di Bangladesh dan menasihatkan rakyat Thailand di ibu kota Dhaka supaya sentiasa berwaspada.
"Saya amat bimbang dengan situasi yang semakin memuncak di Bangladesh. Saya sedang memantau ketegangan yang semakin meningkat ini. Kami menyeru semua pihak yang terlibat supaya bersikap tenang dan mencapai penyelesaian secara aman," katanya dalam akaun rasmi X beliau pada Ahad.
"Ingatan kami adalah bersama mereka yang terjejas. Rakyat Thailand di Dhaka diminta sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan dari Kedutaan Thailand dengan teliti," nasihat beliau.
Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.
Perkhidmatan Internet, rangkaian data mudah alih, dan perkhidmatan pengangkutan awam terganggu.
Menurut laporan, protes terhadap kuota kerja kerajaan antara penunjuk perasaan pelajar dan polis minggu ini telah mengakibatkan lebih daripada 100 orang terkorban.
Sementara itu, Kementerian Luar Thailand menggesa rakyat Thailand di Dhaka agar mengelakkan perjalanan berhampiran kawasan protes dan tidak melakukan perjalanan yang tidak perlu di luar kediaman mereka pada masa ini.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata ia telah dimaklumkan oleh Kedutaan DirajaThailand di Dhaka bahawa, setakat ini, tidak ada laporan mengenai rakyat Thailand atau pelajar Thailand yang terjejas oleh situasi berkenaan.
"Rakyat Thailand juga digalakkan untuk sentiasa mengikuti berita, amaran dan arahan lain yang berkaitan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.
Kementerian itu berkata rakyat Thailand di Bangladesh boleh menghubungi Kedutaan Diraja Thailand di Dhaka di talian (+880 17) 0964 0808, 24 jam sehari.
-- BERNAMA
#Bangladesh #Kementerian Luar #perintah berkurung #Penunjuk perasaan