PM Srettha lancar "Wawasan Thailand 2030"

Bernama
Februari 22, 2024 22:53 MYT
Srettha berkata kerajaan juga merancang untuk mewujudkan hab penerbangan, logistik, kenderaan elektrik masa depan, ekonomi digital dan hab kewangan. - Gambar fail/Reuthers/Athit Perawongmetha
BANGKOK: Perdana Menteri Srettha Thavisin pada Khamis melancarkan "Wawasan Thailand 2030" yang bermatlamat menjadikan Thailand sebagai hab perindustrian global dalam lapan sektor, termasuk pelancongan, kesihatan dan perubatan serta pertanian.
Srettha yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan juga merancang untuk mewujudkan hab penerbangan, logistik, kenderaan elektrik masa depan, ekonomi digital dan hab kewangan.
Untuk muncul sebagai hab pelancongan, kerajaan bercadang terus memberikan kemasukan tanpa visa kepada pelancong dari China, Kazakhstan dan India serta mengubah Thailand menjadi hab pelancongan serantau, dengan memberikan tumpuan khusus kepada negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam).
"Kerajaan juga bercadang melonggarkan peraturan bagi membolehkan lebih banyak penerbitan filem, penganjuran acara global dan pameran di Thailand. Usaha ini akan meningkatkan pendapatan bagi hotel terkemuka, restoran, produk tempatan dan pertanian," katanya pada persidangan "Ignite Thailand" di Rumah Kerajaan pada Khamis.
Dalam usaha mewujudkan Thailand sebagai hab kesihatan dan perubatan, Srettha menggariskan beberapa inisiatif kerajaan antaranya menambah jumlah doktor dan jururawat bagi memenuhi permintaan awam sambil meningkatkan kualiti hidup kakitangan penjagaan kesihatan.
Thailand juga akan mempromosikan perubatan tradisional, urutan, spa dan perubatan herba selain menyokong usahawan tempatan mengendalikan Pusat Kesihatan di luar negara.
Selain itu, kerajaan juga akan memartabatkan industri pertanian untuk menjadi hab makanan bagi menyokong keselamatan makanan global.
Mengenai hab penerbangan, Srettha berkata kerajaan menyasarkan untuk membangunkan infrastruktur dan meningkatkan sistem pengangkutan di dalam dan di luar negara.
Kerajaan turut menggariskan matlamat untuk Thailand muncul sebagai Hab Mobiliti Masa Depan bagi menarik pelaburan lebih 1 trilion baht.
Mengenai hab ekonomi digital pula kerajaan telah menetapkan matlamat untuk memajukan lagi teknologi digital, inovasi dan kecerdasan buatan (AI).
Thailand juga bakal menjadi Pusat Kewangan Asia Tenggara dengan mewujudkan sistem kewangan yang teguh, menarik pelaburan institusi kewangan terkenal di dunia selain membangunkan infrastruktur untuk menyokong masa depan sistem kewangan yang dikuasakan oleh teknologi blockchain tanpa perantara, kata Srettha.
-- BERNAMA
#ekonomi digital #teknologi blockchain #kecerdasan buatan #Wawasan Thailand 2030
;