PM Srettha, kerajaan Thailand pantau rapat krisis Asia Barat

Bernama
Ogos 6, 2024 14:30 MYT
Kerajaan Thailand sedang memantau rapat perkembangan yang berlaku di Asia Barat. - Foto Akaun X Srettha Thavisin
BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang memantau rapat perkembangan yang berlaku di Asia Barat dan bersedia untuk memberikan bantuan segera kepada rakyat negara itu sekiranya berlaku kecemasan, kata Perdana Menteri Srettha Thavisin.
"Saya amat bimbang mengenai keselamatan rakyat Thailand di Asia Barat dan menggesa mereka agar mengikuti perkembangan terkini," katanya di X pada Isnin.
Srettha juga menggesa warganegara Thailand di Asia Barat agar sentiasa berwaspada dan mengikuti nasihat negara tuan rumah serta kedutaan atau konsulat Thailand di kawasan itu.
Media melaporkan ketegangan semakin memuncak antara kumpulan Hezbollah Lubnan dan Israel sejak Tel Aviv membunuh komander tentera kanan kumpulan itu, Fuad Shukr dalam serangan udara di pinggir selatan Beirut pada 30 Julai.
Ketua politik Hamas Ismail Haniyeh juga dibunuh di ibu negara Iran, Tehran pada hari berikutnya dalam serangan yang didakwa dilakukan Israel walaupun Tel Aviv tidak mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.
Hamas dan Iran telah berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan Haniyeh, manakala Hezbollah telah berjanji untuk bertindak balas terhadap pembunuhan Shukr.
-- BERNAMA
#kerajaan thailand #Srettha Thavisin #Hamas #pembunuhan Ismail Haniyeh #Iran #Israel #Asia Barat
;