PM Srettha bakal lawat tiga wilayah di selatan Thailand

Bernama
Februari 23, 2024 22:35 MYT
Sempena lawatan selama tiga hari dari 27 hingga 29 Feb itu, Srettha akan diiringi beberapa pemimpin kanan negara antaranya Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul. - Gambar fail/Bernama
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin dijadual melawat tiga wilayah di selatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat untuk mempromosikan pelancongan selain merangsang ekonomi tempatan.
Jurucakap Kerajaan Chai Wacharonke berkata wilayah selatan umpama permata yang tersembunyi, menawarkan pelbagai daya tarikan seperti kebudayaan dan kesenian serta keunikan makanan tempatan selain layanan mesra penduduk tempatan.
"Pattani, Yala dan Narathiwat turut mempunyai potensi pelancongan yang tidak kurang hebat berbanding wilayah lain," katanya dalam satu kenyataan.
Sempena lawatan selama tiga hari dari 27 hingga 29 Feb itu, Srettha akan diiringi beberapa pemimpin kanan negara antaranya Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul.
-- BERNAMA
#Srettha Thavisin #pelancongan #makanan tempatan #pemimpin kanan
;