PM Singapura umum akan rombak Kabinet beberapa bulan lagi

Agensi
Februari 27, 2018 11:15 MYT
LEE: Saya akan merombak Kabinet selepas Parlimen dibubarkan, untuk memberi lebih pendedahan dan tanggungjawab kepada pemimpin-pemimpin muda. - Gambar fail/BERNAMA
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengumumkan akan merombak barisan Kabinetnya dalam beberapa bulan akan datang bagi memberi peluang kepada pemimpin generasi muda menggalas tanggungjawab tersebut.
Lee, pada tahun lalu berkata, beliau bersedia untuk meletak jawatan dalam beberapa tahun lagi, dan penggantinya berkemungkinan besar terdiri dari anggota Kabinet.
Tambah Lee, republik itu juga bakal mengadakan pilihan raya umum pada 2021.
"Saya akan merombak Kabinet selepas Parlimen dibubarkan, untuk memberi lebih pendedahan dan tanggungjawab kepada pemimpin-pemimpin muda.
"Dengan cara ini, pengganti saya akan disokong oleh pasukan yang lebih kuat dan berpengalaman, serta komited untuk memimpin Singapura ke arah masa depan yang lebih baik dan lebih cerah," katanya dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasminya.
Jelasnya, perbahasan Bajet bermula hari ini, diikuti Jawatankuasa Bekalan dan selepas itu Parlimen akan berehat seketika dan dibuka semula pada Mei.
#Lee Hsien Loong #pemimpin muda #PM Lee #PM Singapura #rombakan kabinet #Singapura
;