PM Singapura tiba hadiri Pemukiman Pemimpin M'sia-Singapura

Bernama
April 6, 2014 21:23 MYT
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching tiba di Terminal Ketibaan Antarabangsa, Bangunan Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bagi mengadakan lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini. Foto Bernama
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong tiba di Kuala Lumpur hari ini untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kali Kelima.
Ketibaan Lee dan delegasi di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur di sini pada 2.20 petang disambut oleh Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin.
Lee diiringi oleh isterinya Ho Ching, beberapa orang menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan semasa lawatan kerja dua hari.
Beliau dijadual menghadiri mesyuarat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabat Perdana Menteri esok.
Menurut kenyataan Wisma Putra, pemukiman itu merupakan platform bagi pemimpin kedua-dua negara mengkaji kerjasama bilateral.
Ia juga memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin itu melihat dan membincang inisiatif baru dan kolaborasi selanjutnya.
Perdana Menteri akan mengadakan jamuan malam rasmi untuk Perdana Menteri Singapura itu di Tasik River Cruise, Putrajaya malam ini.
Sementara itu, menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri Singapura yang dikeluarkan di republik itu, dalam lawatan itu, Lee diringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional dan Menteri Dalam Negeri Teo Chee Hean; Menteri Perdagangan dan Industri Lim Hng Kiang; Menteri Luar dan Menteri Undang-undang K Shanmugam.
Menteri Komunikasi dan Informasi Yaacob Ibrahim; Menteri Pembangunan Nasional Khaw Boon Wan; Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Vivian Balakrishnan; Menteri Pengangkutan Lui Tuck Yew; Pemangku Menteri Tenaga Manusia Tan Chuan-Jin dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Lawrence Wong.
Lawatan Lee juga untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung perkembangan terbaru.
Ini termasuk kunjungannya ke Menara Kembar Petronas dan menghadiri taklimat di situ.
Pada sebelah malam, PM Lee dan isteri akan menghadiri majlis jamuan diberikan oleh Najib dan isteri Datin Sri Rosmah Mansor.
Menteri-menteri pengiring akan menghadiri jamuan malam diberikan oleh rakan sejawatan masing-mading dari Malaysia.
Esok, kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri-menteri akan bermesyuarat pada sebelah pagi bagi mengkaji kemajuan hubungan bilateral dan membincangkan cara mempertingkatkan lagi kerjasama dua hala meliputi pelbagai bidang.
#Lee Hsien Loong #Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura
;