PM Singapura pertahan konsert Taylor Swift, anggap perjanjian 'sangat berjaya'

Agensi
Mac 5, 2024 15:41 MYT
Menurut Lee, perjanjian itu ternyata satu perjanjian yang berjaya, dan membawa manfaat ekonomi kepada negaranya,dan menarik kedatangan pelancong dari seluruh rantau Asean. - Gambar fail
MELBOURNE: Perjanjian mengenai konsert Taylor Swift di Singapura, antara 2 hingga 9 Mac ini, satu-satunya lokasi pilihan penyanyi antarabangsa itu di rantau Asia Tenggara untuk siri jelajah dunia Eras, tidak bermaksud perjanjian yang tidak mesra kepada negara jiran.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, perjanjian itu ternyata berjaya, dan membawa manfaat ekonomi kepada negaranya,dan menarik kedatangan pelancong dari seluruh rantau Asean.
Tambahnya., sememangnya Kerajaan Singapura memberikan insentif tertentu kepada pengurusan konsert itu, khususnya insentif yang datang daripada tabung pembangunan pelancongan khusus untuk merancakkan semula industri itu pasca-pandemik COVID-19.
“Perjanjian telah tercapai dan ternyata ia menjadi satu perjanjian yang sangat berjaya. Saya tidak lihat ini sebagai satu perkara yang ‘tidak mesra’ (kepada negara jiran). Kadang-kala, sesebuah negara itu membuat perjanjian, kadang-kala negara lain buat perkara yang sama.
I
nsentif kepada Taylor Swift bukan berniat cetus perselisihan - PM Singapura
Lee berkata, beliau tidak pasti jika penyanyi pop itu akan membuat persembahan di negara serantau yang lain, jika perjanjian itu tidak dicapai.
“Mungkin, mungkin tidak. Ini perkara yang dia sendiri akan tentukan,” kata Lee.
Lee berkata demikian dalam sesi soal jawab pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese yang diadakan selepas Mesyuarat Tahunan Pemimpin Singapura-Australia kali ke-9 di Melbourne, Australia.
Beliau juga berada di Melbourne bersama pemimpin-pemimpin ASEAN yang lain untuk menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia untuk memperingati ulang tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Beberapa media antarabangsa melaporkan Singapura telah membayar antara AS$2 juta hingga AS$3 juta untuk setiap persembahan bagi enam persembahan di Republik berkenaan.
Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, beliau sendiri akan membuat perjanjian seperti itu jika beliau mengetahui mengenai perjanjian Singapura.
Sementara itu, Ahli Legislatif Filipina, Joey Salceda, baru-baru ini berkata, Kerajaan Manila perlu menyoal Singapura tentang geran tersebut, dan mengatakan langkah negara itu adalah bukan sesuatu yang akan dilakukan jiran yang baik.
Menteri Budaya, Komuniti dan Belia Singapura, Edwin Tong berkata, pulangan yang dijangka terhasil daripada penganjuran konsert itu bukan semata-mata dalam nilai matawang, tetapi juga impaknya terhadap sosial.
#Lee Hsien Loong #Taylor Swift #ASEAN #Anthony Albanese
;