PM Singapura Lawrence Wong sampai ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan pertama 18 Ogos

Agensi
Julai 10, 2024 13:35 MYT
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan menyampaikan ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan pertamanya pada 18 Ogos. Gambar/ FB Lawrence Wong
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan menyampaikan ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan pertamanya pada 18 Ogos.

Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong akan menyampaikan ucapan Perhimpunan Hari Kebangsaan pertamanya pada 18 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College Central, Ang Mo Kio.
  • Ucapan ini dianggap penting kerana akan menyentuh dasar utama kerajaan pimpinannya. Lee Hsien Loong tahun lalu mengumumkan projek pembangunan dan Pakej Majulah Singapura bernilai S$7 bilion untuk membantu warga emas.
  • Wong, yang menjadi Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei, berjanji untuk memimpin dengan cara tersendiri, menekankan nilai seperti bebas rasuah, meritokrasi, pelbagai kaum, keadilan, dan kesaksamaan.

Menurut Pejabat Perdana Menteri pada Rabu, acara itu akan diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) College Central di Ang Mo Kio.
Ucapan berkenaan dilihat paling penting apabila Perdana Menteri akan berucap kepada negara dan berkongsi perkara yang menjadi dasar utama kerajaan pimpinannya pada Perhimpunan Hari Kebangsaan.
Pada Perhimpunan Hari Kebangsaan tahun lalu, Perdana Menteri ketika itu Lee Hsien Loong mengumumkan beberapa projek pembangunan, bersama Pakej Majulah Singapura baharu yang bernilai S$7 bilion (dolar Singapura) bagi membantu warga emas memenuhi keperluan persaraan mereka.
Wong, 51, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei, peralihan kepimpinan pertama negara itu dalam tempoh 20 tahun.
Majlis mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon dan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana.
Wong berkata, beliau merupakan Perdana Menteri pertama yang lahir selepas kemerdekaan Singapura, termasuk sebahagian besar ahli Kumpulan 4G.
Beliau sebelum ini berkata akan memimpin Singapura dengan cara tersendiri, tanpa mengabaikan nilai utama seperti bebas rasuah, meritokrasi, pelbagai kaum, keadilan dan kesaksamaan.
Tegasnya lagi, beliau sama sekali tidak akan berpegang kepada status quo, tetapi terus berusaha mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura.
#Lawrence Wong #Lee Hsien Loong #Perdana Menteri #Hari Kebangsaan Singapura
;