PM Singapura lawat Australia, elak korona bertemu di alam siber

Razak Chik
Mac 16, 2020 18:54 MYT
Penularan virus korona tidak menghalang pertemuan dua hala Perdana Menteri Singapura-Australia, walaupun hanya melalui dunia siber. - Foto REUTERS
PENULARAN virus korona yang menyebabkan wabak pandemik COVID-19 gagal menjejaskan hubungan diplomatik dua hala Singapura-Australia.
Walaupun hasrat PM Singapura BG Lee Hsien Loong untuk bertemu PM Australia Scott Morrison di Canberra pada Mar 23 tidak kesampaian, Perdana Menteri kedua dua negara tetap akan bersua – walaupun hanya di dunia siber.
Pada hujung minggu, Australia bertindak mengenakan peraturan 'pengasingan diri' (self-isolation) kepada semua pelawat yang tiba melalui jalan udara atau laut selama 14 hari.
Tindakan yang sama diambil New Zealand sehari lebih awal sebagai usaha mengekang penularan COVID-19.
Melalui satu kenyataan, Kementerian Luar Negara Singapura (MFA) melapor Perdana Menteri Australia Scott Morrison berbual melalui telefon dengan BG Lee sejurus selepas peraturan itu diumumkan.
Sewaktu ditemubual Seven Network pada Isnin, Morrison menyebut segala bentuk pengurusan dan pentadbiran negara tetap berjalan, apatah lagi hubungan dua hala negara pada waktu pandemik melanda.
Mengikut MFA, segala perbincangan akan dikendalikan melalui kemudahan sidang video (video conferencing) dan menggunakan hubungan komunikasi alam siber.
Sesi perbincangan mampu berjalan dan segala keperluan tanda tangan perjanjian dua hala tetap akan berjalan secara maya.
Tambah MFA lagi, pendekatan menggunakan teknologi komunikasi terkini membolehkan kedua-dua negara terus mengukuhkan hubungan baik dua hala Singapura-Australia walaupun satu dunia sedang menghadapi cabaran penularan COVID-19.
#BG Lee Hsien Loong #COVID-19 #koronavirus #Scott Morrison
;