PM Perancis Francois Bayrou terselamat undi tidak percaya
Bernama
Januari 17, 2025 13:45 MYT
Januari 17, 2025 13:45 MYT
PARIS: Ahli Parlimen Perancis pada Khamis mengundi menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Perancis Francois Bayrou, lapor Xinhua.
Menurut keputusan diumumkan oleh Speaker Perhimpunan Kebangsaan Perancis, Yael Braun-Pivet, hanya 131 perwakilan mengundi menyokong usul itu, berbanding 289 undi yang diperlukan.
Ini merupakan undi tidak percaya pertama dihadapi Bayrou sejak pembentukan kerajaannya pada 23 Dis 2024.
Berikutan ucapan dasar umumnya pada Selasa, parti sayap kiri Perancis, La France Insoumise (LFI) mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Bayrou.
Namun, Parti Sosialis (PS) mengumumkan pada Khamis petang bahawa ia tidak akan menyokong usul undi tidak percaya yang dilancarkan oleh sekutunya, yang menurut Jean-Luc Melenchon, pemimpin LFI, akan "memecahbelahkan" pakatan parti haluan kiri, Barisan Popular Baharu (NFP).
Presiden Perancis Emmanuel Macron menamakan Bayrou sebagai Perdana Menteri baharu Perancis pada 13 Dis selepas Michel Barnier disingkirkan melalui undi tidak percaya.
-- BERNAMA