PM Palestin umum kembali jalin hubungan diplomatik dengan Israel
Astro Awani
November 17, 2020 06:00 MYT
November 17, 2020 06:00 MYT
RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh umum kembali menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.
Ini susulan komitmen Israel untuk mematuhi pelbagai perjanjian yang ditandatangani kedua belah pihak.
"Kami akan meneruskan hubungan dengan Israel mengenai masalah kewangan, isu kesihatan, isu politik dan apa sahaja yang Israel bersedia.
“Apa yang paling penting sekarang, Israel mengatakan bahawa mereka bersedia untuk menandatangani perjanjian.
"Apa sebenarnya yang dimaksudkan? Ini bermaksud wilayah, ini bermaksud politik, ini bermaksud kesihatan, itu bermaksud kewangan, ini bermaksud semua masalah lain," katanya.
Hubungan dengan Israel dihentikan sejak 19 Mei 2020 susulan pelan untuk merampas 30 peratus wilayah Tebing Barat oleh rejim zionis itu membuatkan penyelesaian dua negara semakin sukar.
Ini selepas beberapa negara Arab menjalinkan hubungan diplomatik formal dengan Israel.
Shtayyeh juga optimis bahawa setelah Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) dan peralihan ke pemerintahan Joe Biden akan ‘mengatur kembali’ dinamik di Asia Barat.
Pentadbiran Donald Trump sebelum ini dilihat pro-Israel selepas memindahkan kedutaan Amerika ke Baitulmuqaddis.
Katanya, apa yang Palestin mahukan adalah hubungan dua hala AS-Palestin yang tidak berpusat kepada Israel.