PM Palestin harap keputusan ICJ pada Jumaat akan tamatkan pencerobohan Israel

Bernama
Januari 26, 2024 15:38 MYT
Perdana Menteri Palestin berharap agar ICJ melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan aliran bantuan kemanusiaan yang cepat. - Gambar fail/Reuters
RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh menyuarakan harapan agar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Jumaat akan merangkumi langkah-langkah menghentikan tindakan genosid Israel di Gaza yang kini memasuki hari ke-111.
Beliau berharap agar ICJ melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan aliran bantuan kemanusiaan yang cepat demi menyelamatkan mereka yang kebuluran, cedera, menghidap penyakit dan menghadapi ancaman kematian di Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum keputusan ICJ, Shtayyeh berkata: "Kami mengharapkan mahkamah memenuhi tanggungjawab undang-undang dan kemanusiaan di hadapan masyarakat antarabangsa memandangkan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang dialami rakyat kami tidak pernah berlaku sejak Perang Dunia II. Kami menjangkakan mahkamah akan meneruskan siasatan berhubung pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat di Gaza."
Afrika Selatan memfailkan tuntutan mahkamah terhadap Israel pada 29 Dis 2023, menuduhnya melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Afrika Selatan membentangkan dokumen setebal 84 muka surat kepada mahkamah, mengumpulkan bukti pembunuhan beribu-ribu rakyat Palestin di Gaza.
-- BERNAMA
#perang Palestin Israel #ICJ #Perdana Menteri Palestin #Mahkamah Keadilan Antarabangsa
;