PM Pakistan larang penggunaan karpet merah dalam acara rasmi
Bernama
Mac 31, 2024 06:30 MYT
Mac 31, 2024 06:30 MYT
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, telah mengeluarkan larangan terhadap penggunaan permaidani merah dalam acara rasmi, satu langkah kecil ke arah mengurangkan perbelanjaan berlebih-lebihan di peringkat kerajaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) .
Keputusan diambil Perdana Menteri Shehbaz Sharif muncul di tengah-tengah cabaran ekonomi yang mencengkam dihadapi kuasa nuklear Asia Selatan itu, lapor media tempatan pada Sabtu.
Kerajaan mengeluarkan notis menyatakan penggunaan permaidani merah dihadkan untuk tujuan protokol pada acara diplomatik.
Terdahulu, Sharif dan Kabinetnya secara sukarela memutuskan untuk tidak mengambil gaji dan faedah istimewa mereka.
Presiden Asif Ali Zardari memilih untuk tidak mengambil gajinya sebagai menunjuk solidariti dalam menghadapi cabaran ekonomi negara itu.
Selepas beberapa minggu menggalas tanggungjawabnya, Sharif mengumumkan langkah berjimat-cermat untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Langkah-langkah itu termasuk melarang pembelian kenderaan mewah, menteri-menteri hanya boleh menaiki kapal terbang dengan kelas ekonomi dan perlu membayar bil utiliti mereka sendiri serta tidak menginap di hotel lima bintang.
Pakistan bergelut dengan kenaikan harga barangan dan kemerosotan ekonomi dalam beberapa tahun ini. Inflasi tinggi melangit berpunca daripada kenaikan tenaga elektrik dan produk petroleum merupakan antara cabaran yang cuba diselesaikan kerajaan.
Pakistan telah beberapa kali meminta bantuan pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi syarat yang dikenakan bagi bantuan tabung itu selalunya tidak popular.
Pada tahun lepas, IMF membantu menstabilkan ekonomi Pakistan dengan pakej pinjaman jangka pendek sebanyak US$3 bilion berikutan kebimbangan negara itu tidak mampu membayar hutangnya.
Dengan program pinjaman itu menghampiri penghujungnya, kerajaan yang baharu dipilih ini merancang untuk mendapatkan lagi pinjaman sekurang-kurangnya sebanyak US$6 bilion daripada IMF. - BERNAMA-dpa