PM Pakistan akan kongsi dengan media dan sekutu bukti campur tangan asing terhadap kerajaannya
Bernama
Mac 30, 2022 05:17 MYT
Mac 30, 2022 05:17 MYT
NEW DELHI: Perdana Menteri Pakistan Imran Khan pada Rabu berkata beliau akan berkongsi dengan media dan sekutu politiknya bukti campur tangan asing dalam kemelut politik dihadapi kerajaannya.
Pakistan sedang dilanda kemelut politik yang hebat kerana kerajaan pimpinan Imran menghadapi undi tidak percaya di Parlimen.
Bercakap pada satu majlis di Islamabad, Imran berkata menghadapi "krisis politik" dalam demokrasi berparlimen bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi mendakwa terdapat komplot kuasa luar yang menentang Pakistan kerana mengamalkan dasar luar yang bebas.
"Ia adalah krisis import asing. Satu konspirasi luar terhadap Pakistan," katanya.
Imran, yang menjadi perdana menteri pada 2018, berkata krisis itu bermula selepas warga asing yang terbiasa menyelesaikan urusan di dalam Pakistan "dengan hanya dengan satu panggilan telefon" berhadapan dengan situasi apabila negaranya enggan berkompromi dengan kepentingan nasionalnya.
Sebelumnya, pada Ahad Perdana Menteri Pakistan itu membuat dakwaan sama ketika partinya menganjurkan perhimpunan besar-besaran di Islamabad.
"Saya nyatakan saya ada dokumen (untuk membuktikan konspirasi asing). Saya akan tunjukkan dokumen itu kepada wartawan kanan," kata pemimpin Pakistan itu pada Rabu.
Beliau berkata sesetengah pihak yang menyokong kempen pembangkang untuk menggulingkannya mungkin tidak menyedari "konspirasi" itu dan beliau akan menunjukkan dokumen itu kepada sekutu politiknya.
"Ia satu konspirasi yang lebih besar daripada apa yang saya beritahu anda," kata Imran.
Sambil menegaskan dasar luar yang bebas, Imran tidak menamakan secara khusus pihak luar yang didakwa berusaha menjatuhkannya.
Dalam ucapannya pada Rabu, beliau merujuk kepada keadaan Pakistan yang menderita apabila bersekutu dengan "perang melawan keganasan" pimpinan Amerika Syarikat.
"Apa yang kita dapat daripada perang itu?" soal Imran, dan menyebut tindakan itu mengorbankan 80,000 nyawa rakyat Pakistan dan 3.5 juta orang kehilangan tempat tinggal.
"Ia berlaku kerana kami mengorbankan kepentingan kami demi kepentingan negara lain," katanya.
Imran, pemimpin parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang memerintah, adalah pengkritik lama tindakan Pakistan memihak kepada kempen ketenteraan AS.
-- BERNAMA