PM New Zealand selamat bersalin anak pertama

Bernama
Jun 22, 2018 12:14 MYT
Jacinda Ardern dan pasangannya Clarke Gayford bersama bayi mereka di Hospital Auckland City, 21 Jun, 2018. REUTERS / Instagram @jacindaardern
Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern selamat melahirkan anak pertamanya di Auckland pada petang Khamis, lapor agensi berita Xinhua.
Bayi perempuan seberat 3.31 kilogram itu dilahirkan pukul 4.45 petang waktu tempatan di Hospital Bandaraya Auckland, menjadikan Ardern sebagai perdana menteri New Zeland pertama bersalin ketika menyandang jawatan dan segelintir dalam kalangan beberapa pemimpin di seluruh dunia.
Berita mengenai kelahiran bayi pertama Perdana Menteri berusia 37 tahun itu menjadi tumpuan media sosial.
"Terima kasih di atas ucapan yang diberikan. Kami semua berada dalam keadaan baik di Hospital Bandaraya Auckland," kata Ardern di media sosial.
Ardern mengumumkan kehamilannya beberapa bulan selepas pemimpin Parti Buruh itu menang dan membentuk kerajaan gabungan dengan parti minoriti yang diketuai oleh penyandang Naib Perdana Menteri, Winston Peters.
Suaminya, Clarke Gayford, 40, merupakan pengacara program televisyen.
Ardern akan mengambil cuti bersalin selama enam minggu. Semasa ketiadaannya, Peters memangku tugas sebagai Perdana Menteri.
--BERNAMA
#anak #bayi #Jacinda Ardern #media sosial #New Zealand #Perdana Menteri
;