PM Mohammad Mustafa sokong tindakan berani tiga negara iktiraf Palestin
Astro Awani
Mei 27, 2024 08:10 MYT
Mei 27, 2024 08:10 MYT
PERDANA Menteri Palestin Mohammad Mustafa pada Ahad memuji keputusan berani yang diambil Sepanyol, Ireland dan Norway untuk mengiktiraf negara itu .
Katanya, beliau bersyukur kerana ketiga-tiga negara berkenaan menyertai 143 negara lain menyokong usaha Palestin menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi awal Mei lalu.
“Ini masa yang penting apabila tiga negara Eropah membuat keputusan yang sangat, sangat berani untuk mengiktiraf negara Palestin.
"Dan ia dibuat hanya seminggu selepas 143 negara lain mengundi dalam Perhimpunan Agung PBB bahawa Palestin bersedia sebagai sebuah negara dan sudah tiba masanya untuk mengiktiraf Palestin.
“Tetapi pertemuan ini juga penting untuk melihat apa yang berlaku di Gaza dan Tebing Barat dengan kerugian kemanusiaan yang kita lihat semakin meningkat setiap hari.
"Dan juga kerosakan fizikal yang akan menjadikan tugas membina semula negara lebih mencabar.
“Usaha-usaha ini, pengumuman-pengumuman ini, mesyuarat-mesyuarat ini adalah blok utama ke arah menjadikan Palestin merdeka, berdaulat dan negara berdaya maju menjadi kenyataan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Norway Espen Barth Eide turut menyatakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara, sambil menegaskan tiada alternatif lain dalam jangka panjang dan menggesa gencatan senjata di Gaza.
Sepanyol, Ireland dan Norway berkata mereka akan mengiktiraf secara rasmi negara Palestin pada Selasa ini untuk membantu menghentikan serangan Israel di Gaza dan memulihkan rundingan damai yang terhenti sedekad lalu.
Mustafa hadir di Brussels bagi menghadiri pertemuan dengan pemberi dana antarabangsa yang menyokong Palestin.