PM Modi cadang sesi G20 secara maya pada akhir November

Bernama
September 10, 2023 21:22 MYT
Modi mencadangkan satu pertemuan secara maya melibatkan pemimpin G20 sebelum berakhir tempoh jawatan presiden yang disandang India ketika ini pada November 2023. - AP
NEW DELHI: Perdana Menteri Narendra Modi pada Ahad mencadangkan untuk mengadakan satu pertemuan secara maya melibatkan pemimpin G20 sebelum berakhir tempoh jawatan presiden yang disandang India ketika ini pada November 2023.
"Saya mencadangkan pada penghujung November, kami mengadakan sesi G20 secara maya. Kami akan dapat menyemak isu yang ditangani pada sidang kemuncak ini pada sesi maya itu... Saya harap anda semua akan menyertai sesi maya tersebut," kata Modi pada sesi terakhir Sidang Kemuncak G20 di New Delhi, lapor Sputnik.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov menyokong idea itu, mengatakan bahawa ini akan memberi peluang untuk menilai realisasi perjanjian yang dicapai di New Delhi dan menyerahkan jawatan presiden G20 kepada Brazil dengan cara yang lebih berkesan.
India telah mempengerusikan G20 sejak 1 Dis 2022. Sidang kemuncak peringkat tertinggi di New Delhi dari Sabtu hingga Ahad mengumpulkan 20 negara anggota serta sembilan negara lain, termasuk Bangladesh, Mesir, Sepanyol, Mauritius, Nigeria, Belanda, Emiriah Arab Bersatu, Oman dan Singapura.
Rusia pada sidang kemuncak itu diwakili oleh Lavrov dan China oleh Perdana Menteri Li Qiang.
Sidang kemuncak G20 seterusnya dirancang untuk diadakan di Brazil, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat, seperti yang terkandung dalam perisytiharan akhir persidangan New Delhi.
--BERNAMA-SPUTNIK
#G20 #Narendra Modi #pertemuan maya #India
;