PM May mesti nyatakan pelan Brexit pada pertengahan Februari
Agensi
Januari 14, 2017 15:15 MYT
Januari 14, 2017 15:15 MYT
Kerajaan British perlu mengeluarkan pelan terperinci untuk Brexit sebelum pertengahan bulan Februari yang menyatakan pendiriannya mengenai keahlian Kesatuan Eropah (EU) pada masa depan, menurut satu jawatankuasa penggubal undang-undang dalam satu laporan yang diterbitkan pada Sabtu.
Jawatankuasa Keluar EU Parlimen, yang terdiri daripada ahli parlimen dari beberapa pihak termasuk parti Konservatif Perdana Menteri Theresa May dan parti pembangkang Buruh, juga berkata kerajaan perlu mengadakan perjanjian peralihan dengan blok itu.
May, yang sebelum ini berkata beliau akan memulakan rundingan rasmi pada akhir Mac berhubung keputusan meninggalkan EU, telah diserang pihak perniagaan, pelabur dan penggubal undang-undang, kerana tidak banyak mendedahkan mengenai rancangan Brexit kerajaan selepas lebih enam bulan negara itu mengundi untuk keluar dalam referendum Jun lepas.
"Kerajaan perlu untuk menerbitkan rancangan Brexitnya selewat-lewatnya pertengahan Februari, termasuk dalam hal kedudukan keahlian pasaran tunggal dan kesatuan kastam, supaya ia boleh diteliti oleh Parlimen dan orang ramai," kata ahli parlimen Buruh Hilary Benn, pengerusi jawatankuasa itu.
May, yang pernah berkata tindakan terus-terusan mengulas mengenai persediaan Brexit itu akan melemahkan kuasa kerajaan dalam rundingan yang akan datang, dijangka akan menyatakan lebih lanjut mengenai pendekatan beliau terhadap Brexit dalam satu ucapan pada hari Selasa.