PM Lee ucap tahniah kepada PM Pihak Berkuasa Palestin Mohammad Mustafa
Bernama
April 6, 2024 14:31 MYT
April 6, 2024 14:31 MYT
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan tahniah kepada Dr Mohammad Mustafa atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Ehwal Luar dan Ekspatriat Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Mustafa, penasihat ekonomi kanan kepada Presiden Mahmoud Abbas, dilantik sebagai perdana menteri pada 14 Mac.
Lee berkata pelantikan Mustafa dibuat pada masa yang sangat mencabar dan Singapura amat prihatin terhadap keadaan kemanusiaan yang genting di Gaza.
"Kami menyokong gencatan senjata kemanusiaan segera untuk membolehkan penghantaran bantuan yang cepat dan tanpa halangan," katanya dalam surat kepada Mustafa, bertarikh 5 April.
Teks surat itu dikongsi Kementerian Ehwal Luar (MFA) di laman webnya, Sabtu.
Lee berkata Singapura telah menyampaikan tiga peringkat bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengerahkan sebuah pesawat Tentera Udara Republik Singapura untuk misi menggugurkan bantuan.
Beliau berkata Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (ETAP) Singapura juga menyokong usaha pembinaan kapasiti PA dan lebih 700 pegawai Palestin telah menghadiri kursus latihan dan lawatan sambil belajar di bawah ETAP setakat ini.
Perdana Menteri berkata Singapura juga telah menubuhkan Pejabat Perwakilannya di Ramallah pada 2022 untuk memudahkan lagi hubungan negara dengan PA dan memanjangkan jemputan kepada Mustafa untuk melawat Singapura pada masa akan datang.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Singapura
#Lee Hsien Loong
#ucap tahniah
#Perdana Menteri Palestin
#Mohammad Mustafa
#Mahmoud Abbas