PM Lee ucap selamat menyambut Ramadan yang 'bermakna dan diberkati'

Bernama
Mac 23, 2023 16:33 MYT
Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada umat Islam dan semoga Ramadan kali ini memberikan lebih makna serta keberkatan. - Gambar fail/REUTERS
SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsein Loong mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada umat Islam dan semoga Ramadan kali ini memberikan lebih makna serta keberkatan.
"Setelah tiga tahun, masyarakat Islam kini dapat menyambut Ramadan seperti sebelum pandemik COVID-19," tulis Lee di akaun rasmi Facebook.
Menurut Lee aktiviti seperti solat tarawih boleh dilakukan di 57 masjid tanpa tempahan manakala 10 masjid yang popular tetapi mempunyai ruang terhad, sistem tempahan perlu dilakukan untuk mempermudah pengurusan jemaah.
"Saya difahamkan masijd-masjid ini telah berusaha untuk menyediakan lebih banyak ruang solat," katanya.
Lee berkata beliau memahami hasrat kumpulan-kumpulan kariah untuk menganjurkan solat tarawih di ruang-ruang yang terdapat di kawasan flat.
"Saya gembira kerana perkara ini telah mencapai persefahaman setelah dibincangkan dengan Muis dan Muis telah mengizinkan banyak kumpulan kariah untuk meneruskan rancangan asal mereka.
"Terima kasih kepada kumpulan-kumpulan kariah serta seluruh masyarakat Islam Singapura kerana bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyambut Ramadan kali ini dengan penuh bermakna," tulis Lee..
Perdana Menteri berkata pada bulan yang mulia ini, beliau menggalakkan masyarakat bukan Islam untuk menyertai rakan Islam berbuka puasa bersama-sama.
"Tanpa sekatan COVID-19, orang ramai kini boleh berkunjung ke bazar-bazar Ramadan dan menikmati kemeriahannya," katanya.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Singapura #Lee Hsien Loong #Ramadan #ibadah puasa
;