PM Kanada Trudeau perkenal rang undang-undang bekukan import, jualan senjata api

Bernama
Mei 31, 2022 18:39 MYT
Trudeau memperkenalkan Rang Undang-Undang C-21, iaitu beberapa langkah kawalan senjata api yang ketat sejak lebih 40 tahun, susulan peningkatan keganasan melibatkan penggunaan senjata berkenaan. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Isnin mengumumkan usaha mengetatkan undang-undang membabitkan senjata api termasuk melaksanakan pembekuan senjata api secara nasional, lapor United Press International (UPI).
Trudeau memperkenalkan Rang Undang-Undang C-21, iaitu beberapa langkah kawalan senjata api yang ketat sejak lebih 40 tahun, susulan peningkatan keganasan melibatkan penggunaan senjata berkenaan.
"Nyawa mereka yang terbunuh akibat keganasan senjata api adalah merugikan. Saya telah melihat kesan yang dialami akibat keganasan senjata api dalam komuniti di seluruh negara.
"Jika diluluskan, undang-undang itu tidak lagi membenarkan pembelian, penjualan, pemindahan atau mengimport pistol di seluruh Kanada.
"Dalam erti kata lain, kami mengehadkan pasaran," kata Trudeau pada sidang akhbar.
Pada Mei 2020, Trudeau menguatkuasakan larangan ke atas 1,500 senjata termasuk senapang M4, AR-10 dan AR-15, susulan insiden tembakan di Nova Scotia sebulan sebelumnya yang mengakibatkan 22 orang terbunuh.
Undang-undang itu juga akan memerangi penyeludupan dan pemerdagangan senjata api dengan meningkatkan hukuman jenayah, menyediakan sumber tambahan bagi penguatkuasaan undang-undang terhadap siasatan jenayah senjata api dan mengukuhkan keselamatan sempadan.
Selain itu, ia turut membatalkan lesen senjata api individu yang terlibat dalam kesalahan menghendap dan keganasan rumah tangga atau jenayah lain serta mewujudkan undang-undang "bendera merah" yang membenarkan mahkamah mengeluarkan arahan terhadap individu yang dianggap berbahaya kepada diri sendiri atau orang lain supaya menyerahkan senjata api mereka kepada penguatkuasa.
Pengumuman itu dibuat susulan insiden tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas, di mana seorang lelaki bersenjata menembak 19 pelajar dan dua guru pada minggu lalu.
Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang melawat lokasi kejadian pada Ahad, menyentuh mengenai penjualan senjata api berkaliber tinggi.
"Tidak masuk akal seseorang dapat membeli senjata yang boleh menembak sehingga 300 butir peluru," kata Biden.
Apabila ditanya mengenai peranannya untuk bertindak mengikut undang-undang berkaitan senjata api, Biden berkata hanya Kongres mempunyai kuasa memulakan larangan penjualan senjata.
-- BERNAMA
#perdana menteri kanada #Justin Trudeau #senjatan api #pembekuan senjata api #undang-undang #Rang Undang-Undang C-21 #pistol
;