PM Kanada bidas Facebook terhadap sekatan berita babitkan krisis kebakaran hutan

Bernama
Ogos 22, 2023 20:29 MYT
Justin Trudeau membidas Facebook kerana menyekat penyebaran berita penting mengenai situasi kebakaran hutan negara itu. - Gambar fail/Darryl Dyck/The Canadian Press via AP.
NEW YORK: Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau membidas Facebook kerana menyekat penyebaran berita penting mengenai situasi kebakaran hutan negara itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
"Tidak dapat dibayangkan syarikat seperti Facebook memilih untuk mengutamakan keuntungan korporat berbanding memastikan organisasi berita tempatan boleh menyalurkan maklumat terkini kepada warga Kanada," kata Trudeau pada sidang media pada Isnin.
"Daripada memastikan wartawan tempatan dibayar dengan adil untuk memastikan warga Kanada dimaklumkan tentang isu seperti kebakaran hutan, Facebook menyekat berita dari lamannya," kata Trudeau.
Pada awal bulan, syarikat induk Facebook, Meta, mula menyekat rakyat Kanada daripada melihat pautan berita dan kandungan yang disiarkan oleh penerbit dan penyiar berita tempatan atau antarabangsa.
Langkah itu sebagai tindak balas kepada undang-undang baharu yang mensyaratkan gergasi teknologi membayar saluran berita bagi menyiarkan kandungan mereka di platform. Ia dijangka berkuat kuasa di Kanada menjelang Disember.
"Sekarang ini dalam situasi kecemasan di mana maklumat terkini adalah lebih penting berbanding sebelum ini, Facebook meletakkan keuntungan korporat berbanding keselamatan orang ramai," kata Trudeau.
Wilayah Columbia di Kanada diisytihar darurat sejak Jumaat, ketika kebakaran terus melanda wilayah itu.
Perdana Menteri British Columbia, David Eby, berkata pada Isnin bahawa sekurang-kurangnya 50 kediaman di sekitar West Kelowna, kira-kira 350 km ke pedalaman ibu negeri Vancouver, telah musnah dalam kebakaran.
Darurat kekal dikuat kuasa dimbandar yang menempatkan 36,000 orang. Bandar Kelowna, dengan populasi hampir 150,000, turut terjejas akibat kebakaran itu.
Keadaan semakin reda sejak 24 jam lalu berikutan penempatan anggota bomba dan penyelamat.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri #Facebook #kebakaran hutan #Justin Trudeau
;