PM Jepun jalani pemeriksaan kesihatan kedua dalam tempoh 5 hari

Bernama
November 13, 2024 17:16 MYT
Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi pada Isnin berkata dos ubat selesema menjadi punca Ishiba kelihatan terlelap semasa sesi parlimen. - Gambar fail
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pada Rabu telah menjalani pemeriksaan kesihatan untuk kali kedua dalam tempoh lima hari, di tengah-tengah kebimbangan selepas beliau dilihat terlelap seketika semasa sesi parlimen awal minggu ini, lapor Agensi Berita Kyodo.
Jurucakap tertinggi kerajaan bagaimanapun menolak kebimbangan bahawa ahli parlimen berusia 67 tahun daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) itu tidak sihat dengan menyatakan bahawa "tiada masalah kesihatan."
Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi dalam satu sidang media berkata bahawa Ishiba menjalani pemeriksaan kesihatan selama kira-kira 30 minit di sebuah pusat penjagaan kesihatan di Tokyo pada Rabu dan menegaskan bahawa "tiada kesan terhadap tugas rasminya."
Ishiba, yang memegang jawatan pada 1 Okt, juga telah dimasukkan ke hospital di Tokyo pada Sabtu selama kira-kira 1 jam 50 minit.
Ketika ditanya mengapa beliau menjalani pemeriksaan kesihatan sekali lagi pada Rabu, Hayashi berkata: "Saya dengar ia adalah pemeriksaan kesihatan rutin yang telah dijadualkan sebelum ini."
Mengenai pemeriksaan pada Rabu, sumber yang rapat dengan Ishiba berkata ia telah diatur lebih awal sebagai persiapan bagi lawatan beliau ke Amerika Selatan dari Khamis untuk menghadiri Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Kumpulan 20 (G20) di Peru dan Brazil.
Hayashi pada Isnin berkata dos ubat selesema menjadi punca Ishiba kelihatan terlelap semasa sesi parlimen yang diadakan untuk memilih semula beliau sebagai perdana menteri selepas pilihan raya Dewan Perwakilan.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Jepun #Shigeru Ishiba #pemeriksaan kesihatan #Terlelap
;