PM Jepun garis tiga teras baharu imbangi ekonomi, agihan
Agensi
Januari 20, 2022 13:47 MYT
Januari 20, 2022 13:47 MYT
TOKYO: Fumio Kishida yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-101 negara itu pada November lalu menggariskan tiga teras baharu kepada demokrasi liberal dan kapitalisme dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan pengagihan.
Berucap pada Forum Ekonomi Dunia, sempena Davos Agenda 2022 yang dikendalikan secara dalam talian, beliau berkata, antara fokus utama di bawah pentadbiran beliau adalah memperkasakan Jepun menerusi bentuk baharu kapitalisme.
Menurutnya, kapitalisme tanpa semak dan imbang akan menyebabkan beberapa isu seperti jurang pendapatan yang melebar, jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar serta ketegangan masyarakat.
"Jadi saya fikir sudah tiba masanya untuk melakukan transformasi ekonomi dan sosial," katanya di sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Kishida berkata, Jepun akan mempelopori bentuk baharu menerusi perkongsian antara sektor awam dan swasta, pemimpin kerajaan, pemain industri serta semua bentuk kerjasama untuk memberi anjakan kepada dasar paradigma.
Katanya, terdapat pergantungan yang keterlaluan dalam persaingan dan amalan kawal selia kendiri untuk mengekang kelebihan kuasa pasaran, dan perkara itu perlu diubah.
Mengulangi dasar semasa tidak mencukupi untuk memastikan pertumbuhan mampan dan inklusif, beliau yakin pembaharuan yang digariskan itu mampu membina kekuatan baharu ekonomi Jepun.
Dalam pada itu, perdana menteri juga menyatakan keyakinan bahawa Jepun dapat mengetuai dunia dalam melakukan transformasi ekonomi hijau.
"Pelaburan dalam teknologi hijau akan memberi pulangan 'dua kali ganda' dan enjin pertumbuhan," ujarnya.
Justeru beliau mengumumkan Jepun akan memperkenalkan sistem harga karbon dalam masa terdekat sebagai menyatakan sokongan kepada pasaran pelepasan karbon Asia.
"Jepun kekal komited kepada Perjanjian Paris bagi mencapai pelepasan sifar gas rumah kaca menjelang 2050," jelasnya.
Menurutnya lagi, satu lagi tonggak penting Jepun adalah merebut peluang transformasi digital.
Meskipun Jepun secara tradisinya sedikit terbelakang dari aspek penggunaan digital, namun demikian COVID-19 telah mengajar dunia termasuk Jepun untuk menjayakan agenda pendigitalan.
"Sebagai sokongan, kerajaan akan melabur dalam melebarkan gentian optik dan infrastruktur berkaitan 5G sehingga 90 peratus populasi negara dalam tempoh dua tahun lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, perdana menteri turut menegaskan Jepun akan mengambil pendekatan berwaspada dengan terus menutup sempadan negara sehingga akhir Februari bagi mengekang penularan COVID-19.
"Kerajaan akan mengambil pandangan realistik dan kita tidak mungkin akan bertoleransi dengan dasar tolenrasi COVID-19," katanya lagi.