PM Jepun berkata tidak akan bertemu Trump sekembalinya dari Brazil

Bernama
November 17, 2024 17:37 MYT
Ishiba berkata, psukan Trump menjelaskan bahawa Trump tidak boleh mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum memegang jawatan kerana kekangan undang-undang. - AP
TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba berkata pada Sabtu beliau tidak akan mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam perjalanan pulang ke Jepun dari Amerika Selatan, walaupun beliau berhasrat untuk berbuat demikian, lapor Agensi Berita Kyodo.
Bercakap kepada wartawan di Lima, Peru, Ishiba berkata pasukan Trump menjelaskan bahawa presiden terpilih, yang telah menerima banyak permintaan untuk pertemuan daripada pemimpin dunia, tidak boleh mengadakan perbincangan dengan mereka sebelum memegang jawatan kerana kekangan undang-undang.
Ishiba berkata, "Saya berharap dapat mengadakan perbincangan dengannya pada masa yang paling sesuai dan seawal mungkin untuk kedua-dua pihak," menzahirkan hasrat untuk mengatur pertemuan sejurus selepas pelantikan Trump pada Januari nanti.
Semasa panggilan telefon pada awal November, Ishiba dan Trump bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam mempertingkatkan hubungan dua hala, dengan perdana menteri memberitahu wartawan bahawa dia "mendapat tanggapan" presiden terpilih itu "mesra" dan "boleh berbincang dengan jujur."
Ishiba, yang dalam lawatan lapan hari untuk sidang kemuncak forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru dan Kumpulan 20 (G20) di Brazil, telah mempertimbangkan kemungkinan untuk berhenti di AS selepas itu untuk bertemu dengan Trump.
Di tengah-tengah cabaran seperti ketegasan ketenteraan China yang semakin meningkat dan program pembangunan nuklear dan peluru berpandu Korea Utara, Ishiba telah menekankan bahawa pakatan Jepun-AS adalah "keutamaan utama" bagi dasar luar dan keselamatan negaranya.
Pada Jumaat di Lima, beliau mengadakan pertemuan ringkas dengan Presiden AS Joe Biden dan memuji pakatan itu sebagai lebih kukuh berbanding sebelumnya.
Ishiba, yang menggantikan Fumio Kishida sebagai perdana menteri pada 1 Okt, teruja untuk menjalin hubungan peribadi dengan Trump, yang mempunyai hubungan akrab dengan Perdana Menteri Jepun ketika itu Shinzo Abe semasa penggal pertamanya sebagai presiden bermula pada 2017.
Sejurus selepas pilihan raya presiden November 2016, Abe bergegas ke Trump Tower di New York untuk bertemu dengan presiden terpilih itu dan menghadiahkannya kayu golf emas, membuka jalan untuk memperdalam persahabatan mereka yang lebih erat. Kedua-duanya adalah peminat sukan golf.
Abe yang meletakkan jawatan pada 2020 kerana masalah kesihatan, ditembak mati semasa berucap dalam kempen pilihan raya pada 2021.
-- BERNAMA
#Shigeru Ishiba #perdana mentri jepun #Donald Trump #Brazil #Amerika Syarikat
;