PM Israel Benjamin Netanyahu selamat jalani pembedahan hernia

Agensi
April 1, 2024 20:02 MYT
Pusat Perubatan Hadassah menyatakan Netanyahu sedang pulih, tetapi tidak mendedahkan berapa lama proses pemulihan tersebut - Foto fail/REUTERS/Carlos Barria
JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilapor berjaya menjalani pembedahan hernia dan telah sedarkan diri.
Memaklumkan perkembangan tersebut, Pusat Perubatan Hadassah di Jerusalem menyatakan, Netanyahu sedang pulih, tetapi tidak menyatakan berapa lama proses pemulihan tersebut.
"Dia terjaga, dia bercakap dengan keluarganya dan keadaannya sempurna," kata Profesor Alon Pikarsky, seperti dilapor Reuters hari ini.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan Netanyahu yang berusia 74 tahun disahkan menghidap hernia semasa pemeriksaan rutin pada Sabtu dan dijadualkan menjalani pembedahan pada Ahad.
Ini adalah pembedahan kedua Netanyahu sejak kembali memegang jawatan Perdana Menteri pada akhir 2022.
Pada musim panas lalu, jantung Netanyahu disahkan tersumbat dan dia menjalani pembedahan memasang pemacu jantung (pacemaker).
Pada 2013, Netanyahu juga telah menjalani pembedahan selepas kali pertama disahkan menghidap hernia.
#Benjamin Netanyahu #pembedahan hernia #pemeriksaan rutin #pemacu jantung
;