PM Israel ancam sedia banyak serangan ke atas Gaza
Agensi
Mac 27, 2019 11:55 MYT
Mac 27, 2019 11:55 MYT
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberi ancaman dengan kesediaannya melancarkan serangan terhadap tentera Hamas di Semenanjung Gaza.
Potal berita Al-Arabiya melaporkan, ancaman itu dibuat pada Selasa sebagai tindak balas pelancaran roket oleh Hamas.
“Kami (Israel) sudah bersedia untuk melakukan lebih banyak serangan dan akan lakukan apa sahaja untuk melindungi negara kami,” kata Netanyahu kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) yang merupakan organisasi gerakan pro-Israel.
Netanyahu dilaporkan pulang ke Israel setelah bertemu dengan Presiden Donald Trump di Washington, Amerika Syarikat bagi memberi tindak balas terhadap serangan roket Hamas yang mengenai kawasan berdekatan Tel Aviv.
Setakat Selasa, kawasan sempadan Gaza itu menjadi tenang dan tentera Zionis dilaporkan berundur dari kawasan sekatan keselamatannya.
Namun, keadaan tenang itu tidak lama setelah sekurang-kurangnya dua roket dari Gaza dilancarkan pada waktu malam.
Tentera Israel turut mengumumkan pelancaran roket itu di kawasan terbuka di Eshkol dekat sempadan Gaza.
Dengan itu, Israel melakukan serangan balas dengan pesawatnya yang mengenai beberapa sasaran antaranya kawasan tentera dan tempat pembuatan senjata milik Hamas.
Pasukan tentera udara Israel juga dilaporkan melakukan serbuan di selatan Gaza, Khan Younis yang merupakan kawasan sayap ketenteraan pergerakan Hamas, Bridged al-Qassam.
Dalam pertempuran dua belah pihak itu, tentera Zionis terus mendakwa mereka berhak untuk terus melancarkan serangan dan meletakkan tentera serta kereta kebal di sempadan Gaza.
Serangan regim Israel ke atas Gaza ini bermula pada Isnin lalu dan menambah anggota tentera mereka di kawasan sempadan.
Ketegangan antara dua belah pihak ini dijangka memberi kesan terhadap kedudukan Netanyahu yang berusaha mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya Israel yang akan dijalankan dalam dua minggu lagi.
#Benjamin Netanyahu
#Donald Trump
#Gaza
#Hamas
#Israel
#Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel
#pilihan raya
#Tel Aviv
#Washington
#Zionis