PM Israel adakan pertemuan rahsia dengan Putera Mahkota Arab Saudi
Agensi
November 23, 2020 05:00 MYT
November 23, 2020 05:00 MYT
PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, umum pegawai Israel pada Isnin, yang pertama seumpamanya dilakukan pemimpin Israel.
Terdahulu, media Israel melaporkan Netanyahu pada Ahad secara rahsia terbang ke Neom, bandar di barat laut Arab Saudi yang terletak dalam wilayah Tabuk, berdekatan Laut Merah, untuk mengadakan perbincangan yang turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo.
Bagaimanapun, perjumpaan antara Netanyahu dan Putera Mohammad Salman itu dinafikan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan.
"Saya menemui Pompeo di lapangan terbang dan telah pergi bersamanya ke pertemuan itu. Saya kemudian membawanya kembali ke lapangan terbang.
"Hanya pegawai Arab Saudi dan AS sahaja yang hadir sepanjang perjumpaan itu," katanya kepada Reuters.
Arab Saudi telah sekian lama menyokong usaha Palestin dan mengelak sebarang hubungan rasmi dengan Israel.
Mengulas mengenai penafian Arab Saudi itu, Netanyahu dilihat mengambil pendekatan berhati-hati.
Ditanya berhubung perkara itu, beliau berkata kepada media: "Anda serius? Selama ini, saya memang tidak pernah komen berkenaan perkara seperti itu dan saya tidak bercadang untuk mula berbuat demikian sekarang."
Jurucakap Pompeo juga enggan mengulas.
Bagaimanapun, seorang anggota Kabinet Netanyahu, Yoav Gallant, berkata kepada Army Radio: "Hakikat bahawa pertemuan itu diadakan, dan ia kini diketahui umum, walaupun tidak secara rasmi buat masa ini, ialah sesuatu yang sangat penting."
Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gants dalam satu ucapan mengecam perbuatan "membocorkan maklumat mengenai penerbangan rahsia ke Arab Saudi" itu.
#Donald Trump
#Benjamin Netanyahu
#Islam
#Arab Saudi
#Putera Mahkota
#Amerika Syarikat
#Putera Faisal Farhan
#Putera Mohammed Salman
#pertemuan rahsia
#Mike Pompeo