PM interim Lubnan harap gencatan senjata dengan Israel segera

Astro Awani
Oktober 30, 2024 07:50 MYT
Menurut Najib, berdasarkan perbualan dengan wakil khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Amos Hochstein, perjanjian boleh dicapai sebelum Pilihan Raya Presiden 5 November depan. - Gambar fail
BEIRUT: Perdana Menteri interim Lubnan, Najib Mikati berharap perjanjian gencatan senjata dengan Israel akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ini selepas media media tempatan Israel melaporkan Washington sudah mengemukakan draf perjanjian untuk gencatan senjata 60 hari.
Draf tersebut menggariskan bahawa Israel akan mengundurkan anggotanya dari Lubnan dalam minggu pertama gencatan senjata 60 hari tersebut.
Menurut Najib, berdasarkan perbualan dengan wakil khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, Amos Hochstein, perjanjian boleh dicapai sebelum Pilihan Raya Presiden 5 November depan.
Sementara itu, jurucakap Keselamatan Nasional White House, Sean Savett memaklumkan, draf dokumen gencatan senjata terbabit tidak mencerminkan keadaan semasa rundingan.
Media Israel sebelum ini melaporkan draf tersebut telah dibentangkan kepada pemimpin Israel.
Israel dan kumpulan bersenjata Lubnan, Hezbollah, telah bertempur selama setahun yang lalu beriringan dengan perang Israel di Gaza selepas Hezbollah menyerang sasaran Israel sebagai tanda solidariti dengan sekutunya, Hamas di Gaza.
#gencatan senjata #Israel #lubnan #Najib Mikati
;