PM India kerja keras tarik pelaburan AS

Bernama
Jun 22, 2023 21:13 MYT
Modi mahu Musk meneroka peluang di India untuk pelaburan dalam mobiliti elektrik dan sektor ruang komersial. - Gambar fail/Reuters
NEW DELHI: Perdana Menteri India Narendra Modi yang sedang mengadakan lawatan negara ke Amerika Syarikat (AS), bekerja keras untuk menarik pelaburan Amerika ke India.
Modi bertemu beberapa taikun dan ketua korporat AS pada Rabu.
Dalam pertemuan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Applied Materials Gary E. Dickerson di Washington, beliau mengundang syarikat AS untuk melabur dalam teknologi proses dan keupayaan pembungkusan termaju di India.
Beliau juga berbincang untuk meningkatkan pembuatan semikonduktor dengan Ketua Pegawai Eksekutif Micron Sanjay Mehrotra dan berhasrat mewujudkan kerjasama teknologi yang lebih besar dengan ketua eksekutif General Electric Co Larry Culp.
Modi menjemput GE untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam sektor penerbangan dan tenaga boleh diperbaharu di India, menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan.
Terdahulu Perdana Menteri itu mengadakan pertemuan di New York dengan taikun dan ketua firma Amerika terkemuka, termasuk Tesla, SpaceX dan ketua Twitter Elon Musk.
Modi mahu Musk meneroka peluang di India untuk pelaburan dalam mobiliti elektrik dan sektor ruang komersial.
India meningkatkan usaha untuk menarik pelaburan teknologi dan kejuruteraan termaju apabila Barat semakin bimbang tentang kemungkinan gangguan besar dalam rantaian bekalan global di tengah-tengah konflik dan persaingan geopolitik.
-- BERNAMA
#Elon Musk #Narendra Modi #pelaburan #Twitter
;