PM India gesa negara G20 tingkat pelaburan dalam pembangunan mampan
Bernama
Jun 12, 2023 21:31 MYT
Jun 12, 2023 21:31 MYT
MOSCOW: Perdana Menteri India Narendra Modi pada Isnin menggesa negara G20 menambah pelaburan dalam matlamat pembangunan mampan (SDG) bagi membantu negara membangun mengatasi kesan krisis global, lapor Sputnik.
"Sudah menjadi tanggungjawab kolektif kita untuk tidak membiarkan matlamat pembangunan mampan ketinggalan dan untuk itu kumpulan ini perlu menghantar mesej yang jelas kepada dunia bahawa kita mempunyai pelan tindakan yang komprehensif, inklusif, adil dan mampan untuk menjayakannya.
"Kita harus meningkatkan pelaburan dalam memenuhi SDG dan mencari penyelesaian untuk menangani risiko hutang yang dihadapi oleh banyak negara," kata Modi dalam ucapan kepada menteri pembangunan G20 di di bandar Varanasi, India.
Beliau juga menggesa menteri G20 mengkaji pengalaman New Delhi yang telah menjadikan lebih 100 wilayah kurang membangun sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, selain menekankan kepentingan pendigitalan dan pendemokrasian teknologi.
"Di India, pendigitalan telah membawa perubahan besar dengan teknologi digunakan sebagai alat untuk memperkasa rakyat, menjadikan data boleh diakses dan memastikan keterangkuman dan oleh itu India bersedia untuk berkongsi pengalamannya dengan negara rakan kongsi," katanya.
Pemimpin India itu turut menggesa pembangunan "prinsip kehidupan peringkat tinggi" sebagai satu cara untuk menggalakkan perlindungan alam sekitar dan tindakan iklim selain menyokong penggunaan pelan tindakan mengenai kesaksamaan jantina dan peluang untuk wanita.
Sementara itu, Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar berkata New Delhi telah membentangkan rancangan tujuh tahunnya untuk mempercepat kemajuan dalam mencapai SDG.
"Pelan tindakan itu bukan sahaja merangsang komitmen gigih G20 kepada agenda pembangunan bahkan mengemukakan tindakan transformatif dalam tiga agenda teras," kata Jaishankar pada mesyuarat berkenaan/menteri pembangunan G20.
"Kita negara G20 perlu berani dan bersatu untuk menangani krisis. Tema jawatan presiden India - Satu Bumi, Satu Keluarga, Satu Masa Depan - merupakan gesaan segera untuk bertindak ," kata menteri luar India itu.
SDG mewakili pelan 17 perkara yang dibangunkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada 2015 sebagai seruan universal untuk bertindak dalam menamatkan kemiskinan, melindungi planet ini dan memastikan semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran menjelang 2030.
India menyandang jawatan presiden G20 pada Disember 2022 sehingga 30 November depan, dengan kira-kira 200 mesyuarat kumpulan berlangsung di pelbagai peringkat sepanjang 2023 dengan acara utama sidang kemuncak G20 di New Delhi dari 9-10 September.
-- BERNAMA