PM Finland kesal video menari tular tersebar

Astro Awani
Ogos 19, 2022 08:30 MYT
Marin berkata, beliau sedar aksinya dirakam, namun tidak menyangka video itu akan disebarkan kepada umum. - Gambar fail/Reuters
PERDANA Menteri Finland kecewa susulan penyebaran video secara dalam talian beliau sedang menari di sebuah parti persendirian.
Jelas Sanna Marin, 36 tahun, video berkenaan dirakam untuk simpanan peribadi dan sepatutnya hanya jadi tontonan rakan-rakannya.
Video berdurasi dua minit menunjukkan Marin menyanyi dan menari bersama artis tempatan tular di media sosial, pada Rabu.
Jelasnya, klip itu pada asalnya disiarkan ke akaun Instagram peribadi.
Marin, yang menjadi pemimpin kerajaan paling muda di dunia pada Disember 2019 berkata, beliau mengetahui aksinya dirakam, namun tidak pernah menyangka video itu akan disebarkan kepada umum.
"Video-video ini adalah peribadi dan dirakam di ruang peribadi. Saya kesal ia disebarkan kepada umum," katanya kepada pemberita di Helsinki pada Khamis.
Tambahnya, beliau tidak tahu individu yang menyebarkan rakaman terbabit.
Marin berkata, video itu adalah kompilasi klip daripada dua majlis berasingan beberapa minggu lalu.
Menurutnya, orang ramai di acara itu mengambil alkohol tetapi beliau menafikan ia melibatkan penyalahgunaan dadah.
Marin berdepan kritikan susulan video berkenaan.
#Sanna Marin #Perdana Menteri Finland #menari di sebuah parti persendirian #video peribadi tersebar
;